Skip to content

Lima prinsip pembinaan negara dalam Rukun Negara patut dibentangkan kepada Sidang Khas Parlimen bulan hadapan sebagai asas untuk memastikan adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional untuk empat tahun yang akan datang

Selepas selesainya enam pilihan raya negeri pada hari Sabtu, 12 Ogos 2023, semua rakyat Malaysia, baik di dalam atau di luar Parlimen, perlu bekerjasama dalam empat tahun yang akan datang untuk memastikan adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia dan bukannya menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dah korup.

Saya cadangkan supaya lima prinsip pembinaan negara dalam Rukun Negara dibentangkan kepada Sidang Khas Parlimen pada bulan depan sebagai asas untuk memastikan adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam empat tahun yang akan datang.

Perkara ini juga akan menjadi ujian untuk melihat berapa ramai dari 222 orang Ahli Parlimen yang menerima dan menolak lima prinsip Rukun Negara ini sebagai asas kepada kestabilan politik dan perpaduan nasional untuk empat tahun yang akan datang, dan mendedahkan siapa yang sedang mencuba untuk mewujudkan konspirasi politik Langkah Sheraton 2 untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar.

Ahli-ahli Parlimen yang menolak lima prinsip pembinaan negara dalam Rukun Negara ini patut didedahkan supaya rakyat Malaysia dapat mengetahui niat sebenar mereka dalam empat tahun yang akan datang.

Kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-66 pada 31 Ogos ini – di satu titik kritikal di mana kita sama ada akan terus mundur dan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara atau bangkit semula untuk menjadi sebuah negara hebat dunia.

Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, tidak boleh membazirkan peluang baru ini untuk bersatu-padu menjadikan Malaysia sebuah negara hebat dunia berasaskan kepada prinsip asal pembinaan negara bangsa yang ada dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, badan kehakiman yang bebas, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak ada pemisahan rakyat kelas pertama atau kelas kedua yang diasaskan kepada kaum, agama, atau kawasan.

Kita perlu hantarkan mesej yang jelas pada Hari Kebangsaan ini bahawa Malaysia boleh diselamatkan dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal, dan Malaysia perlulah menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun yang bertemu di tanah ini untuk mencipta sebuah negara hebat dunia.