Semalam saya telah dihubungi oleh pemandu perkhidmatan Grab menyuarakan kebimbangan mereka mengenai risiko kepada pemandu dan penghantar barang bermotosikal e-hailing yang setiap hari terdedah terhadap jangkitan Covid. Kita melihat dalam gambar beribu-ribu orang pesakit hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) setiap hari dan sekiranya mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke sana, tentunya Kerajaan perlu melindungi mereka yang terlibat di dalam industri ini daripada terkena jangkitan dan menjangkiti orang lain.
Tiga langkah segera yang mesti diambil untuk melindungi kira-kira 200,000 pemandu dan penghantar barang bermotosikal e-hailing di jalan raya setiap hari:
- Vaksinasi: Kementerian Pengangkutan dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mesti menyegerakan pemberian vaksin kepada pemandu dan penghantar barang bermotosikal yang membawa ribuan penumpang, menghantar makanan dan bungkusan daripada pelbagai lokasi setiap hari. Ini bukan roket sains. Saya terkejut kerana mereka ini tidak dianggap sebagai petugas barisan hadapan walaupun mereka dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dalam setiap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
- Sistem pengudaraan: Kementerian Kesihatan harus memberikan panduan dan galakan mengenai sistem pengudaraan untuk perjalanan e-hailing ini. Ini adalah amat penting kerana mereka membawa ribuan penumpang ke pelbagai pusat CAC di seluruh Malaysia. Sekali lagi, ini bukan roket sains. Mengapa ianya tidak boleh dilakukan lebih awal?
- Integrasi: MySejahtera perlu mengamalkan konsep data terbuka dan berkongsi data mereka dengan pemain industri yang berkaitan. Kerajaan perlu memastikan bahawa maklumat peribadi hanya digunakan untuk tujuan mengurus dan mengurangkan kes Covid-19. Ini adalah contoh klasik mengapa data ini harus dikongsi: Ketika seseorang penumpang membuat tempahan, pemandu tidak diberikan maklumat mengenai status Covid-19 penumpang sehinggalah mereka masuk ke dalam kereta dan mengimbas kod QR (yang akan menunjukkan status terkini Covid-19 di MySejahtera penumpang). Risiko untuk pemandu ini terdedah dan menyebabkan berlakunya rantaian jangkitan tidak dapat dibayangkan tetapi ianya boleh dan mesti dielakkan.
Oleh itu, saya meminta kepada semua Menteri ini supaya segera menyelesaikannya mengikut bidang kuasa masing-masing dan bertindak hari ini serta saya juga akan menamakan mereka di sini – Wee Ka Siong (APAD), Khairy Jamaluddin (PICK) dan Adham Baba (KKM). Mungkin Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan negeri yang lain boleh menyaingi rakan Persekutuan mereka dengan memberikan vaksinasi kepada 200,000 petugas barisan hadapan e-hailing ini. Sesuatu yang amat menyedihkan saya apabila mendapati ramai daripada 11,000 kes Covid setiap hari dapat dielakkan jika terdapatnya penyelarasan, kecekapan dan keprihatinan oleh Menteri Kabinet ini. Sekali lagi, ini bukan roket sains.