Skip to content

Liow Tiong Lai patut berhenti menjadi apologis UMNO dan mengambil iktibar daripada keberanian Dr Chua Soi Lek yang melawan UMNO

Presiden MCA, Liow Tiong Lai patut berhenti menjadi apologis UMNO dan mengambil iktibar daripada keberanian Dr Chua Soi Lek yang melawan UMNO, daripada terus mempertahankan tindakan desakan UMNO terhadap PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan. Liow telah membuktikan dirinya tidak boleh dipercayai dan bukanlah seorang yang terhormat apabila beliau mengkhianati perjanjian bertulis antara beliau dengan Chua sebelum berlangsungnya pemilihan parti MCA tahun lalu.

Untuk menutup kegagalannya mengkritik UMNO kerana menghasut PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan, Liow bergantung penuh kepada media arus perdana untuk melancarkan kempen habis-habisan penuh putar belit dan penipuan terhadap DAP. Walaupun pendustaan bahawa kononnya DAP yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan oleh PAS tanpa menyebut langsung peranan UMNO terus didedahkan dan dijawab, penipuan dan putar belit ini terus berlaku. DAP menasihatkan orang ramai supaya merujuk media alternatif untuk mendapatkan laporan yang lebih adil dan tepat.

Bagaimana mungkin Liow boleh mengatakan bahawa ketegasan PAS untuk terus melaksanakan hudud di Kelantan adalah suatu perangkap oleh PAS untuk melumpuhkan UMNO sedangkan UMNO lah sebenarnya yang mendesak PAS berbuat demikian? Sebagai Ahli Parlimen Bentong, Liow tahu bahawa menteri UMNO di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom telah memulakan kontroversi tersebut apabila beliau mendesak PAS di Parlimen pada 27 Mac untuk melaksanakan hudud ke atas orang Islam di Kelantan.

Jamil telah berkata bahawa kerajaan persekutuan sedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang bersedia untuk melaksanakan hudud termasuk Kelantan, kerana Adun UMNO Kelantan telah menyokong usul enakmen jenayah syariah Kelantan untuk melaksanakan hudud pada tahun 1993. Jamil malah mencadangkan supaya ahli parlimen bukan kerajaan membentangkan usul persendirian bagi tujuan tersebut.

Liow turut mendakwa bahawa ia adalah satu situasi yang tidak adil bagi UMNO, memandangkan parti Melayu itu tidak dapat menyuarakan bantahannya terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut kerana hudud disebut di dalam Al-Quran dan mereka tidak boleh menentangnya. Ini tidak benar kerana hanya pada 25 September 2011, UMNO secara terbuka menentang hukum hudud, ketika Perdana Menteri Najoib Razak mengumumkan di Kampar pada 25-9-2011 bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan hudud di Malaysia. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa satu negara tidak boleh mempunyai dua sistem undang-undang. Mahathir malah berkata bahawa orang Islam di Malaysia tidak bersedia untuk menerima hudud dan adalah tidak adil jika hukuman adalah berbeza bagi orang Islam dan bukan Islam untuk kesalahan yang sama.

Pada PRU tahun 2013, UMNO telah menang lebih banyak kerusi dan undi orang Islam walaupun menentang hukum hudud. Pun begitu, Najib nampaknya sedang mengubah pendirian kerajaan BN yang dahulu tidak akan melaksanakan hudud, namun kini meraikan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Jamil Khir malah mengambil satu langkah ke depan dengan membentuk sebuah jawatankuasa bersama yang turut melibatkan PAS, Putrajaya dan kerajaan Kelantan untuk mengkaji pelaksanaan hudud di Kelantan dalam satu sidang media bersama dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 2 Mei 2014.

Berbanding memberi kritikan terhadap UMNO, Liow memilih untuk menyalahkan DAP dan PAS walaupun DAP secara terbuka mengkritik PAS kerana bekerjasama dengan UMNO untuk melaksanakan hudud setelah tidak berjaya mendapatkan sokongan DAP dan Pakatan Rakyat. Bolehkah Liow menerangkan logik yang tidak masuk akal ini serta sikap dwi-standard mengkritik DAP yang secara terbuka mengkritik PAS dan UMNO atas pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan; tetapi tidak mengkritik UMNO kerana mendesak PAS melaksanakan hudud di Kelantan?

Atas sebab ini, Liow tidak mempunyai hak untuk menyarankan DAP untuk meminta maaf atas kehendak PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan, khususnya apabila DAP senantiasa konsisten menentang dan mengkritik PAS dan UMNO yang cuba melakukannya. Sebaliknya, MCA yang seharusnya meminta maaf secara terbuka kerana enggan mengkritik UMNO yang menghasut PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Jelas sekali Liow telah gagal dalam langkah pertamanya untuk melakukan transformasi terhadap MCA, apabila tidak berani membantah dan mengkritik UMNO. Kenapa Liow tidak berani menyuruh UMNO meninggalkan BN jika UMNO juga beriya-iya mahu melaksanakan hudud di Kelantan? Liow mencanggahi dirinya sendiri apabila beliau merumuskan bahawa punca masalah pelaksanaan hudud di Kelantan ialah PAS, kerana ini bukan lah rang undang-undang kerajaan. Pun begitu, sokongan UMNO, yang merupakan kerajaan, secara efektif menjadikannya rang undang-undang kerajaan.

Atau adakah umpan kelebihan kedudukan Kabinet yang dijanjikan oleh Najib begitu memberahikan sehinggakan beliau sanggup menggadaikan maruah MCA dengan merelakan sokongan UMNO terhadap pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan?