Sebagai ahli DAP, saya rasa terharu akan nasihat dan kebimbangan Pembantu Khas Isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor atas kepentingan parti DAP dalam Pakatan Harapan sekiranya satu logo akan digunakan oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke 14 nanti.
Namun demikian, persahabatan dan keakraban di antara parti-parti Pakatan Harapan dengan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk menumbangkan UMNO-BN menjadi kepentingan utama demi memberikan Harapan baru untuk Malaysia. Oleh itu sebagai akar umbi parti yang sayangi dan ingin selamatkan Malaysia, sudah tentu semua akan bersetuju untuk menggunakan satu logo sekiranya ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk bertanding dalam PRU14 nanti. (http://www.astroawani.com/berita-politik/dap-perlu-berhati-hati-dengan-pkr-rizal-mansor-172100)
Memang janggal sekiranya kemungkinan besar logo roket DAP tidak akan digunakan pada PRU14 nanti. Apakah sebuah pilihanraya tanpa roket? Memang janggal. Mungkin Barisan Nasional juga merasa janggal sebab itu mereka menyuarakan kebimbangan mereka.
Sebaliknya, UMNO patut risau akan kemungkinan besar sabotaj dalaman yang sedang berlaku dalam Barisan Nasional terutama sekali di kerusi-kerusi yang menjadi rebutan di antara UMNO dan MCA dan cara UMNO melayan MCA serta parti komponen BN yang lain dengan teruk sekali kerana peranan mereka sebagai ‘abang besar’ dalam BN.
Dalam realiti politik masa kini, adalah penting bagi semua pihak untuk membina persefahaman di antara parti-parti untuk mengukuhkan sesebuah pakatan. Semua ada kekuatan masing-masing dan semua harus memanfaatkan sesama sendiri. Layanan buruk kepada sahabat politik tidak akan memudahkan kerjasama. Tetapi umum mengetahui UMNO adalah parti yang amat sombong dan tidak mempedulikan akan parti lain kecuali parti sendiri. Oleh itu janganlah terkejut sekiranya ada tsunami dalaman yang akan menghancurkan BN. Dalam Pakatan Harapan, semua parti adalah sama rata dan isu logo tidak akan menjadi masalah selepas persetujuan dicapai.
Nasihat saya kepada Rizal Mansor dan UMNO-BN adalah risau pasal rumah sendiri. Kami di Pakatan Harapan semua baik-baik sahaja.