Saya telah memberikan Presiden PAS, Hadi Awang, banyak masa untuk memberikan bukti terhadap pelbagai tuduhan-tuduhan yang dilontarkannya terhadap DAP dan juga saya, tetapi dia masih gagal untuk memberikan bukti-bukti ini.
Baru-baru ini, dia telah membuat enam tuduhan yang liar dan tidak masuk akal terhadap DAP dan diri saya, tetapi dia gagal untuk buktikan satu pun dari tuduhan ini.
Enam tuduhan liar yang tidak dapat dibuktikan Hadi setakat ini adalah:
- Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia. Kini, enam bulan sudah berlalu sejak dia membuat tuduhan tidak masuk akal ini dan walaupun dicabar saya berkali-kali, dia masih gagal untuk memberikan sebarang bukti terhadap tuduhan liar ini. Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.
- Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada bulan Mei 2014, Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP yang membantu PAS semasa gabungan Barisan Nasional (BN) cuba untuk menumbangkan parti tersebut dari mentadbir Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977. Dia mengatakan walaupun terdapat banyak perkara yang berbeza di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, dan hudud, kedua-dua parti ini bersetuju untuk menghapuskan kemiskinan, kezaliman, dan rasuah, dan lain-lain perkara jahat. Adakah DAP mempromosikan Islamofobia ketika membantu PAS pada tahun 1977?
- Hadi patut tahu sekarang yang DAP bukanlah dalang di sebalik mahupun terlibat dengan episod pada tahun 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad cuba untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Adakah Hadi akan meminta maaf untuk tuduhan liar dan kejinya terhadap DAP yang cuba mengatakan bahawa DAP adalah “dalang” di sebalik usaha ini?
- Sejak tahun 2018, Hadi tidak berjaya untuk memberikan satu pun contoh dari 55 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD di mana syiar Islam tergugat atau satu pun contoh dari 36 negara dengan sistem beraja di mana sistem monarki mereka tergugar akibat ratifikasi ICERD.
- Tuduhan liar dan tidak masuk akalnya yang mengatakan bahawa orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah “perompak” yang memberi dan menerima rasuah yang juga telah menipu orang Melayu dan orang Islam dari hak-hak mereka selama lebih dari setengah abad.
- Tuduhan liar dan tidak masuk akal terbarunya yang mengatakan bahawa DAP telah menyasarkan orang Melayu yang “jahil mengenai kepercayaan mereka” untuk mengumpulkan kuasa politik dan bahawa kononnya DAP “mengumpan” sesetengah tokoh Melayu untuk menjadi “boneka”.
Islam, seperti mana-mana agama hebat dunia, tidak mengajar pemimpinnya untuk menipu atau menggunakan fitnah dan berita palsu.
Pastinya Islam tidak mengajar Hadi untuk menjadi seperti Raja Petra Raja Kamaruddin, yang semalam menulis di Twitter:
“Lim Kit Siang marah dengan Anwar Ibrahim. Kit Siang kata beberapa tindakan Anwar semenjak jadi PM10 bawa mudarat kepada DAP dan Pakatan Harapan. Kit Siang kata jika PRU16 diadakan sekarang PH akan kalah teruk.”
Saya terkejut kerana saya tetapi pernah berkata apa-apa seperti itu, tetapi penipuan, fitnah, dan berita palsu ini kelihatan memang sudah menjadi makanan ruji Raja Petra.
Adakah Hadi Awang mahu menjadi Raja Petra yang kedua?
Hadi boleh menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab, dan dihormati di Malaysia sekiranya dia bersedia untuk mengakui yang dia salah dalam membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal ini dan bersedia untuk berjanji untuk tidak mengulangi tuduhan liar dan tidak masuk akal terhadap DAP dan saya ini.
Keputusannya di tangan Hadi.