Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai masih berterusan memberikan keterangan yang mengelirukan berkaitan dengan Pelabuhan Pulau Pinang menerusi jawapan bertulis kepada saya di Parlimen berkaitan dengan skandal RM43 juta Tanjung City Marina yang tenggelam hanya selepas 4 tahun ia dibuka pada 2007. Macam mana Kerajaan Negeri dipersalahkan untuk Skandal Tanjung City Marina RM43 juta bila ia dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan?
Marina ini dibina oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan diserahkan kepada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk mengendalikannya. Bila ia tenggelam pada 2011, SPPP menyalahkan angin ribut dan ombak laut kuat yang berlaku pada 2009, 2010 dan 2011. SPPP juga menyalahi PPSB kerana pengurusan yang daif ke atas marina ini.
Manakala PPSB pula menyalahi SPPP, kerana mendakwa reka bentuknya yang cacat dan perlukan RM10 juta lagi untuk menjalankan pembaikan semula. Dalam 2011-2012, PPSB dan SPPP menyalahi satu sama lain, dan tidak mempersalahkan Kerajaan Negeri kerana tapak dan milikan laut berkenaan dimiliki oleh SPPP dan marina pula diuruskan oleh PPSB.
Kerajaan Negeri terkejut dengan jawapan Datuk Seri Liow baru-baru ini yang menyalahkan pula Kerajaan Negeri Pulau Pinang tentang masalah Tanjung City Marina atas alasan tidak selesaikan masalah milikan tanah laut marina, bila ia tidak bersangkut-paut langsung. Tanah tersebut daripada dahulu hingga sekarang dimiliki oleh SPPP.
Mengapa milikan tanah laut tiba-tiba jadi isu sekarang bila ia tidak pernah jadi isu sebelum ini? Jelas sekali Liow adalah tidak bertanggungjawab dan tidak jujur malah si pengecut kerana cuba lari dan elak daripada tanggungjawab Kementerian Pengangkutan ke atas skandal ini.
Sehingga sekarang tidak ada jabatan atau seorang pun dihukum dan diambil tindakan kerana menyebabkan Tanjung City Marina dan RM43 juta wang awam yang dibelanjakannya tenggelam terus ke bawah dasar laut. Sungguhpun pihak Kerajaan Persekutuan telah buat janji untuk memulihkannya ia masih tinggal janji kosong, sama seperti janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu Pulau Pinang mengatasi masalah banjir kilat ataupun janji 3 kali untuk membina LRT.
Tiada Sebab Mengapa Pengerusi SPPP Tidak Diisi Selepas Dikosongkan 6 Bulan
Pada masa yang sama, sukar untuk SPPP menjalankan tugas berkanun dengan profesional dan baik selepas Pengerusinya masih kekosongan selepas Tan Sri Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tamat perkhidmatannya pada 22 Mei 2015. Tidak ada sebab diberikan mengapa jawatan Pengerusi belum diisi selepas 6 bulan ini.
Kegagalan mengisi jawatan Pengerusinya disyaki adalah berkaitan masalah politik dalaman MCA. Ini jelas membuktikan Kerajaan Persekutuan memandang rendah peranan Pelabuhan Pulau Pinang dan tidak diambil peduli sehingga suatu jawatan penting seperti Pengerusi SPPP rela dipolitikkan untuk direbut-rebut oleh politikus-politikus MCA.
Sekiranya jawatan Pengerusi diberikan kepada seorang pemimpin MCA Pulau Pinang yang tidak berkelayakan malah penguasaan Bahasa Inggeris lemah dan kefahaman membaca penyata kewangan pun payah, pastinya SPPP tidak akan capai taraf antarabangsa dan akan terus terbiar sehingga dipintas oleh pelabuhan-pelabuhan lain di rantau ini. Sudah sampai masanya jawatan Pengerusi ini dipilih atas kelayakan cekap, akauntabiliti dan telus, bukannya atas kesetiaan buta politik.
Jawapan Menteri Pengangkutan adalah seperti berikut:-
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : TUAN LIM GUAN ENG [BAGAN]
TARIKH : 30 NOVEMBER 2015 (ISNIN)
SOALAN : 38
Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan apakah sebabnya Tan Sri Dr Chua Soi Lek tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan siapa penggantinya dan status tender terbuka untuk membangunkan kawasan ‘waterfront’ Swettenhem Pier dan membina semula Tanjung City Marina yang tenggelam ke dalam laut sungguhpun RM43 juta dibelanjakan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Tempoh lantikan Tan Sri Dr Chua Soi Lek sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah tamat dan Kementerian Pengangkutan sedang menguruskan lantikan Pengerusi SPPP yang termasuk pertimbangan dan perkenan oleh Yang Dipertua Agong.
Berkenaan dengan status pembangunan kawasan waterfront Swettenham Pier dan kawasan Tanjung City Marina, SPPP telah melaksanakan tender Request For Proposal bagi membangunkan kawasan tersebut. Namun begitu, proses selanjutnya tidak dapat disempurnakan berikutan terdapatnya isu tanah di kawasan yang dimaksudkan. Walaupun hak milik tanah adalah dengan SPPP, akan tetapi ianya terdiri daripada beberapa lot di mana syarat-syarat nyata dan tempoh hak milik adalah berbeza. Dalam pada itu, SPPP harus menyelesaikan isu-isu tanah dengan kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum sebarang pembangunan dapat dilaksanakan.