Menurut sumber yang sahih, sebuah ceramah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam acara pengambilan baru di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah disalahgunakan sebagai landasan untuk memburuk-burukkan gerakan mahasiswa, malah memfitnah beberapa orang pemimpin dan penggeraknya.
Ceramah tersebut berlangsung pada pagi hari Rabu 25hb Januari 2017, sempena Minggu Orientasi yang lazimnya berfungsi sebagai mekanisme untuk memperkenalkan kampus, struktur kursus, dan perkara lain-lain yang berkaitan dengan kehidupan sebagai seorang mahasiswa baharu. Persoalan timbul apabila Majlis Keselamatan Negara juga turut mengambil bahagian dalam taklimat kepada pengambilan baru.
Pesanan utama yang disampaikan menurut peserta yang menghadiri taklimat tersebut adalah bahawa perhimpunan awam tidak wajar dan tidak perlu, kerana manifestasi kuasa Rakyat sudah ada landasannya yakni pilihanraya. Perhimpunan awam hanya akan membawa rusuhan; dan contoh tunggal yang digunapakai oleh penceramah adalah perhimpunan Bersih.
Apa yang amat mengecewakan ialah pembentang menggunakan slides dan gambar tanpa segan silu untuk memburukkan nama serta memfitnah beberapa tokoh mahasiswa dan aktivis. Yang dituduh, langsung tidak diberi peluang untuk membela diri, dan pastinya ada ramai dia antara peserta yang akan termakan dengan bahan-bahan fitnah tersebut.
Dalam sesi tersebut juga, penceramah yang difahamkan telah menyembunyikan identiti dirinya, turut mengaitkan gerakan mahasiswa dengan penganjuran perhimpunan Bersih yang berhasrat membawa rusuhan. Dengan siaran video-video yang disunting khusus untuk memutar-belitkan fakta dan berunsur fitnah, jelas bahawa tujuan sesi tersebut tidak ada kaitan dengan fungsi dan teras MKN iaitu;
- Mempertahankan Kedaulatan dan Kepentingan Strategik Negara
- Pengurusan Krisis Dan Bencana
- Pengurusan Sempadan Darat, Maritim Dan Udara
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyoal Datuk Seri Alias Ahmad selaku Setiausaha MKN; bagaimanakah kedaulatan dan kepentingan strategik negara dapat dipertahankan melalui lontaran fitnah dan tohmahan kepada mahasiswa dan aktivis?
Apakah kaitan perhimpunan Bersih 5 yang baru-baru ini selesai secara aman dan damai, serta dijalankan tanpa berlakunya sebarang rusuhan, dengan sebarang krisis dan bencana dan/atau pengurusannya?
Bagaimanakah Safwan Anang, Anis Syafiqah, Adam Adli, dan Hisahmiudin Rais boleh membawa mudarat kepada sempadan Darat, Maritim mahupun Udara Malaysia?
Memandangkan bahawa MKN adalah dibawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri, wajiblah Perdana Menteri memberi penjelasan; adakah cara yang zalim ini lazim digunakan oleh kerajaan untuk melawan kritikan, dengan mencemari kredibiliti pihak-pihak yang mengkritik, khususnya aktivis dan penggerak muda?