Pengumuman dari Menteri Besar Terengganu, Samsuri Mokhtar, yang empat negeri; Perlus, Kedah, Kelantan, dan Terengganu membentuk sebuah kumpulan kerjasama secara rasmi, dengan Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasminya, mengingatkan saya kepada apa yang Mahathir tulis dalam bukunya “Capturing Hope – The Struggle Continues for a New Malaysia” yang diterbitkan selepas Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang diketuainya sebagai Perdana Menteri buat kali kedua ditumbangkan dengan konspirasi politik Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020:
“Pada tahun 1981, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS mengisytiharkan yang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) adalah parti orang kafir. Saya menulis mengenai perkara ini dalam blog saya pada 7 Januari 2013, dan saya rasa penting untuk diulangi: ‘Tidak ada perpecahan sebegini dalam kalangan orang Melayu-Islam di Malaya sehinggalah PAS dibentuk. Sepantas mungkin, PAS mengumumkan mereka yang tidak menyertai mereka sebagai kafir. Tetapi, punca perpecahan paling utama dalam kalangan orang Melayu Sunni adalah pengisytiharan Hadi Awang. Serangannya terhadap UMNO dan kejiannya yang mengatakan orang Melayu UMNO sebagai kafir telah membawa kepada penolakan ahli-ahli PAS terhadap imam UMNO semasa sembahyang. Malah, ahli-ahli PAS juga telah membina masjid mereka sendiri, enggan memakan daging yang disembelih oleh penyokong UMNO, menolak kesahan perkahwinan yang dikadikan oleh kadi UMNO, dan menanam ahli-ahli mereka di tanah perkuburan yang berasingan. Ahli-ahli keluarga yang merupakan pengikut UMNO ditolak oleh mereka yang menyokong PAS. malah, ahli-ahli PAS benar-benar percaya yang tiga juta ahli UMNO, ahli-ahli keluarga mereka, dan penyokong mereka ini bukan Islam. Mereka semua ini kafir – kafir dan murtad.’ Sekiranya sebelum ini tidak ada perpecahan keagamaan dalam kalangan orang Melayu-Islam, sekarang sudah ada. Dan perpecahan ini mengakar dalam, disebabkan bukan oleh ajaran Islam, sebaliknya berpunca kepada politik.”
Sekarang, Mahathir menjilat ludahnya semula dengan menjadi penasihat tidak rasmi kepada empat negeri PAS, walaupun PAS, di bawah Hadi, sedang mencuba untuk membuat apa yang dilakukannya sebelum pada skala seluruh Malaysia pula dengan menuduh DAP sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan menyebarkan Islamofobia, tanpa secebis bukti sekalipun.
Ucapan Hadi di Parlimen semasa perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 menjadi satu pengajaran bahawa Hadi tidak mempunyai sebarang masalah untuk menggunakan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian mengenai perkara-perkara terkini, seperti mana dia tidak mempunyai masalah untuk menggunakan perkara-perkara terkutuk ini untuk sejarah lampau.
Saya puji pihak polis kerana membantu mengawal perhimpunan Perikatan Nasional di Kuala Lumpur semalam walaupun ketua penganjur mereka sendiri mengelakkan perhimpunan ini kerana kadar kehadiran yang terlalu kecil.