Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin menyokong dakwaan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok berdasarkan kadar vaksinasi harian sebagai antara yang tertinggi di dunia dan kini melebihi purata per kapita dunia. Di tengah-tengah pandemik yang mengerikan ini, di mana jangkitan harian telah mencapai 11,079 dan 125 kematian baharu semalam dengan jumlah kumulatif 6,385 orang, kenyataan sombong seperti itu tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
Lebih-lebih lagi apabila kedua-dua pemimpin secara lalainya mengabaikan fakta bahawa kes jangkitan harian kita yang melambung tinggi juga melebihi purata dunia. Menurut ourworldindata.org, purata kes COVID-19 Malaysia bagi setiap juta orang pada 12 Julai adalah 265 kes atau hampir 5 kali lebih teruk berbanding dengan 57 kes purata dunia. Ini berdasarkan 8,574 kes pada 12 Julai dan bukan rekod tertinggi 11,079 kes pada 13 Julai. Kadar positif pada 13 Julai berdasarkan jumlah ujian saringan yang dilakukan untuk mengesan jangkitan masih tinggi pada 9.48% yang melebihi 5% seperti disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Dengan hanya bergantung pada kadar vaksinasi sahaja tanpa mengambil kira jumlah jangkitan dan kematian harian, apakah keadaan normal yang kita akan capai apabila negara mencapai imuniti kelompok. The Economist baru-baru ini meletakkan Malaysia di kedudukan terakhir atau 50 daripada 50 negara dalam indeks kembali normal bagi negara-negara untuk pulih dari pandemik COVID-19.
Kita tidak mengharapkan apa-apa daripada seorang Perdana Menteri yang gagal tetapi mengharapkan sesuatu yang baharu dan membangkitkan semangat dari seorang Timbalan Perdana Menteri yang baharu. Namun, Ismail Sabri begitu cepat mengecewakan kita dengan menyatakan bahawa negara akan segera kembali normal dengan hanya bergantung pada vaksinasi tetapi bukan dengan saringan massa bagi mengekang peningkatan jangkitan.
Kecuali jika ada peningkatan kadar vaksinasi yang luar biasa, ada kemungkinan imuniti kelompok 80% penduduk akan dicapai bukan hanya dengan vaksinisasi tetapi juga dengan jangkitan. Lebih buruk lagi, Ketua Pengarah Kesihatan dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri secara terbuka saling mengkritik di media sosial.
Dengan kerajaan yang tidak berfungsi dan berpecah belah, tidak ada harapan bahawa PN memiliki kemampuan dan kapasiti untuk menangani krisis COVID-19 yang semakin meningkat. Mahiaddin perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan memberi jalan kepada kerajaan baharu dengan pemikiran baharu dan pendekatan profesional untuk menangani bukan sahaja COVID-19 tetapi juga krisis ekonomi.