Skip to content

MAHKAMAH DEDAH KEGAGALAN POLIS DALAM KES IVANA SMIT: REFORMASI PDRM WAJIB SEGERA

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam telah membuktikan apa yang selama ini cuba diselindungkan. Polis dan Kerajaan Malaysia didapati cuai secara serius serta gagal melaksanakan siasatan yang profesional dalam kes kematian tragik model Belanda, Ivana Smit, pada tahun 2017.

Siasatan ditutup terlalu awal, bukti penting tidak dipelihara, tempat kejadian diurus dengan cuai, suspek utama dibiar pergi tanpa tindakan, saksi utama langsung tidak dipanggil, dan cadangan menggunakan pakar bebas dan ujian DNA pula ditolak tanpa alasan munasabah. Ini bukan sekadar kecuaian biasa, tetapi satu kegagalan sistemik terhadap keadilan.

Mahkamah juga terpaksa mengeluarkan perintah mandamus agar siasatan semula dijalankan, dan laporan kemajuan mesti dihantar setiap tiga bulan kepada Jabatan Peguam Negara.

Saya menghargai keberanian mahkamah serta pasukan peguam keluarga mendiang, diketuai oleh Datuk Sankara Nair, yang konsisten menuntut kebenaran dalam kes ini.

Saya mendesak Ketua Polis Negara mengambil tindakan tatatertib segera terhadap pegawai penyiasat dan pegawai atasan yang gagal menjalankan tugas. Tiada ruang untuk melindungi pegawai cuai yang mencemarkan nama PDRM dan mengkhianati amanah rakyat.

Perintah mandamus ini mesti dijadikan piawaian tetap dalam semua kes jenayah berat, terutamanya kes pembunuhan dan kematian dalam tahanan. Sudah tiba masanya budaya siasatan separuh jalan dan laporan sambil lewa dihentikan.

Keputusan ini membuka pintu bagi semua keluarga mangsa tembakan polis dan kematian dalam tahanan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pihak polis.

Polis tidak boleh terus bersembunyi di sebalik seragam dan prosedur lapuk. Institusi ini perlu dibersihkan dan dibina semula dari dalam. Selagi budaya melindungi kesalahan dan menutup kebenaran diteruskan, selagi itulah kepercayaan rakyat akan terus hancur dan keadilan tidak akan ditegakkan.