Selepas Peguam Negara mengumumkan bahawa kes berkenaan dengan Alkitab BM dan Iban Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) ditutup, tindakan wajar yang patut diambil oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ialah untuk mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS ) untuk mengembalikan Alkitab yang dirampas kepada BSM.
MAIS bukan sahaja enggan meminta JAIS untuk kembali Alkitab ini, mereka telah mengambil langkah tambahan untuk meminta supaya Alkitab ini dilupuskan. MAIS telah mengeluarkan 2 kenyataan media dalam tiga hari untuk mempertahankan tindakan serbuan pejabat BSM oleh JAIS dan tidak mengembalikan Alkitab selepas pengumuman Peguam Negara.
Malangnya, MAIS telah menggunakan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang negeri untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam” dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Tahun 1988, sebagai alasan untuk serbuan JAIS dan desakan yang berterusan supaya Alkitab ini tidak dikembalikan kepada BSM.
Tetapi sehingga hari ini, baik JAIS mahupun MAIS gagal untuk menghasilkan sebarang bukti untuk menunjukkan bahawa Alkitab BSM digunakan untuk tujuan menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Islam di Malaysia! Peguam Negara juga tidak merujuk kepada apa-apa bukti ataupun siasatan yang dihasilkan oleh JAIS sebagai pengesahan bahawa BSM berniat untuk menggunakan Alkitab ini dengan tujuan penyebaran agama Kristian di kalangan orang Islam di Malaysia. Tambahan pula, Peguam Negara telah memutuskan bahawa ‘buku-buku yang dirampas bukan merupa tulisan yang diterbitkan di bawah seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan DiKalangan Orang Islam) 1988. Ini bermaksud bahawa penerbitan Alkitab BSM bukan satu kesalahan dan BSM tidak boleh didakwa!
Tanpa apa-apa bukti bahawa Alkitab BSM telah ataupun akan digunakan untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Islam di Malaysia, kegagalam MAIS untuk meminta JAIS mengembalikan Alkitab kepada BSM melanggar perlembagaan.
Tambahan pula, dalam kenyataan MIAS yang bertarikh 14 Jun, MAIS telah mendesak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di Selangor untuk mendapatkan perintah pelupusan untuk barang dalam kes ini iaitu Alkitab BSM, mengikut Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah (CPC).
Desakan meminta pelupusan Alkitab di bawah Kanun Acara Jenayah melanggar undang-undang oleh kerana Ketua Audit Negara telah memutuskan bahawa tiada undang-undang yang dilanggar dengan penerbitan Alkitab BSM!
Oleh itu, MAIS dan JAIS perlu bekerjasama untuk memastikan kepulangan kesemua Alkitab BSM kepada pemiliknya. Langkah pertama yang perlu diambil oleh MAIS dan JAIS adalah untuk menunjukkan bahawa Alkitab BSM masih dalam keadaan yang baik dan tidak dirosaki dan dilupuskan.