Skip to content

Majlis Makan Malam Kesyukuran Jawatankuasa Mangsa Bencana Bertam Valley Berjaya Diadakan

Keadilan Akhirnya Ditegakkan buat Mangsa Banjir Lembah Bertam, Cameron Highlands Setelah Menunggu Selama 13 Tahun

Majlis Makan Malam Kesyukuran Jawatankuasa Mangsa Bencana Bertam Valley yang diadakan semalam di Dewan Orang Ramai Lembah Bertam telah dihadiri oleh kira-kira 700 orang penduduk.

Turut hadir ialah YB Senator Dato’ Leong Ngah Ngah, peguam merangkap Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Manogaran Marimuthu, ADUN Tanah Rata, YB Ho Chi Yang serta wakil-wakil persatuan dan pertubuhan.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi tanda kesyukuran susulan daripada penantian mangsa selama 13 tahun, malah turut menjadi wadah untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan bantuan, sokongan dan komitmen kepada mangsa sejak bencana berlaku, sepanjang proses tindakan undang-undang, dan sehingga pampasan diserahkan kepada para mangsa.

Dalam ucapan YB Senator Dato’ Leong Ngah Ngah, beliau mengkongsikan bahawa usaha membantu mangsa membawa kes tersebut ke mahkamah bukanlah sesuatu yang mudah kerana pihak yang dihadapi ialah sebuah syarikat GLC yang besar seperti TNB.

Kejayaan kes ini merupakan hasil usaha berterusan Jawatankuasa Mangsa Bencana, 100 plaintif, pasukan guaman serta tiga generasi kepimpinan ADUN Tanah Rata, iaitu YB Senator Dato’ Leong Ngah Ngah, YB Chiong Yoke Kong dan YB Ho Chi Yang (ADUN kini).

Beliau menegaskan bahawa perpaduan dan ketabahan rakyat amat penting dalam menghadapi cabaran bagi memastikan hak mereka terus diperjuangkan.

Peguam En. Manogaran Marimuthu pula berkata, kemenangan kes tersebut bukan sekadar kemenangan di satu peringkat mahkamah, sebaliknya merupakan hasil perjuangan pasukan guaman yang berjaya mempertahankan hak mangsa melalui beberapa peringkat sistem kehakiman.

Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sahaja merupakan kemenangan kepada 100 plaintif, tetapi juga kemenangan rakyat Cameron Highlands dan rakyat Malaysia kerana ia membuktikan bahawa sistem kehakiman mampu melindungi hak rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada pihak yang boleh mengatasi undang-undang (no one is above the law) dan setiap pihak perlu bertanggungjawab terhadap kesilapan yang dilakukan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.

Menurut beliau, DAP telah bersama dengan rakyat sejak tragedi tersebut berlaku dan turut berjuang untuk membawa kes ke mahkamah, dan pampasan yang sewajarnya akhirnya berjaya diperoleh oleh para mangsa banjir.

Sehubungan dengan itu, ADUN Tanah Rata Ho Chi Yang merakamkan penghargaan kepada 100 plaintif dan Jawatankuasa Mangsa Bencana Bertam Valley kerana terus memberikan kepercayaan, bersatu dan bertekad menghadapi pelbagai cabaran sepanjang proses perundangan.

Ho Chi Yang menyifatkan ketabahan mangsa selama 13 tahun sebagai “Semangat Cameron Highlands” yang mengutamakan amalan saling membantu, bersatu padu dan tidak mudah berputus asa.

Pengerusi Jawatankuasa Mangsa Bencana Bertam Valley, Encik Tho, turut merakamkan penghargaan kepada semua pertubuhan, organisasi dan individu yang telah memberikan sumbangan kewangan, bantuan kecemasan, barangan keperluan serta bantuan pemulihan kepada mangsa sejak tragedi banjir pada 2013.

Beliau berkata, majlis tersebut diadakan bukan sahaja untuk meraikan penyerahan pampasan yang sewajarnya, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang tidak pernah meninggalkan mangsa sepanjang tempoh perjuangan mereka.

Sebagai tanda terima kasih, Jawatankuasa Mangsa Bencana turut menyumbangkan wang serta menyampaikan penghargaan kepada organisasi dan individu yang banyak membantu mangsa sepanjang tempoh tersebut.

Pada 23 Oktober 2013, tiga kejadian pelepasan air daripada Empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyebabkan banjir besar di kawasan Bertam Valley, mengorbankan empat nyawa serta mengakibatkan kerugian besar kepada penduduk setempat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2018 memutuskan bahawa TNB telah cuai dan bertanggungjawab membayar pampasan kepada mangsa. Rayuan TNB kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 2019 dan keputusan asal dikekalkan.

Walaupun mangsa telah memperoleh kemenangan di mahkamah, proses penilaian ganti rugi dan urusan berkaitan mengambil masa bertahun-tahun sebelum akhirnya diselesaikan.

Pada 5 Mei 2026, Mahkamah Tinggi Seremban akhirnya memutuskan jumlah pampasan sebanyak RM4.74 juta kepada 100 plaintif.