Skip to content

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN) mencadangkan tarikh 1 September 2021 untuk persidangan DUN Pulau Pinang

Terlebih dahulu, Kerajaan Negeri dan seluruh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan segala hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI kerana telah menzahirkan pandangan Baginda melalui warkah yang termaktub di Istana Negara pada 6 Julai 2021 berhubung keperluan untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera dan memperkenan permohonan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang agar Sidang DUN Pulau Pinang diadakan selepas tempoh Proklamasi Darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos 2021.

Kerajaan Negeri dan seluruh ADUN juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang atas hasil rundingan bersama-sama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI dengan perkenan yang telah diberikan menurut Seksyen 15 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, selaras dengan nasihat YAB Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya DUN Pulau Pinang bersidang seperti biasa pada 1 September 2021 mengikut peraturan-peraturan Mesyuarat yang berkaitan.

Dalam apa jua keadaan, Kerajaan Negeri akan sentiasa mendapatkan nasihat daripada MKN dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung prosedur serta kaedah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kawalan penularan wabak COVID-19 dapat dipenuhi dengan jayanya sepanjang tempoh persidangan DUN.