Skip to content

Majlis Perbandaran Manjung kehilangan RM15 juta dalam Projek Usahasama Sitiawan Sentral

Majlis Perbandaran Manjung kehilangan RM15,240,000-00 dalam Projek Sitiawan Sentral kerana kegagalan pihak pemaju, Kinta Berkat Sdn Bhd melaksanakan terma-terma dalam perjanjian usahasama tersebut.

Tanah dimana projek Sitiawan Sentral dimajukan merupakan sekeping tanah 6 ekar kepunyaan Majlis Perbandaran Manjung ditengah-tengah Bandar Sitiawan. Ia telah dimajukan oleh Kinta Berkat Sdn Bhd menjadi 52 unit bangunan komersial. Sebagai balasan untuk tanah tersebut, Kinta Berkat Sdn Bhd hendaklah membayar dan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk Majlis Perbandaran Manjung.

  1. Membina sebuah pejabat cawangan untuk Majlis Perbandaran Manjung.
  2. Membina 44 unit kuarter kakitangan kerajaan.
  3. Membayar pulangan projek sebanyak RM4,790,000-00.

Pejabat cawangan berkenaan telah siap dibina manakala Kinta Berkat Sdn Bhd tidak melaksanakan perkara (ii) dan menyerahkan satu bangunan 3 tingkat yang dinilai dengan harga RM990,000-00 kepada Majlis Perbandaran Manjung sebagai bayaran sebahagian daripada jumlah yang perlu dibayar dibawah perkara (iii) dan terdapat baki RM3,800,000-00 yang masih perlu dibayar oleh Kinta Berkat Sdn Bhd kepada Majlis Perbandaran Manjung.

44 unit kuarter kakitangan tersebut baru-baru ini telah dibina dan dibiayai dengan dana Kerajaan Negeri melalui Perbandaran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), satu agensi Kerajaan Negeri dengan harga RM260,000-00 seunit.

Oleh yang demikian, jumlah kerugian yang dialami oleh Majlis Perbandaran Manjung dalam projek Sitiawan Sentral adalah RM15,240,000-00.

Butir-Butir

  1. 44 unit kuarter kakitangan kerajaan @ RM260,000-00 RM11,440,000-00
  2. Baki hutang yang perlu dibayar oleh Kinta Berkat Sdn Bhd RM 3,800,000-00

Jumlah: RM15,240,000-00

Kenapa Kinta Berkat Sdn Bhd dibenarkan mengambil berpuluh juta ringgit daripada jualan unit-unit dalam projek tersebut tanpa memenuhi terma-terma perjanjian usahasama tersebut? Majlis Perbandaran Manjung jelas lalai dalam perkara ini.

Tindakan segera mesti diambil terhadap pemaju tersebut dan juga pegawai-pegawai yang membenarkan kerugian ini berlaku.