Skip to content

Majlis Raja-raja tidak membuat permintaan menukar nama-nama jalan utama di Kuala Lumpur; ‎Tengku Adnan perlu minta ampun

Majlis Raja-raja telah mengesahkan bahawa keputusan menukar nama-nama jalan utama di Kuala Lumpur bukanlah berpunca daripada permintaan Majlis Raja-raja. Malah ia tidak pernah dibincangkan di peringkat tersebut.

Pun begitu, timbalan menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Balan Mohan tidak pula meminta maaf kepada Majlis Raja-raja kerana telah mengaitkan keputusan penukaran nama jalan baru-baru ini kepada para Raja-Raja Melayu.

Tindakan beliau mungkin sahaja telah membangkitkan kemurkaan Majlis Raja-raja lantaran dituduh bertanggungjawab dalam hal yang begitu remeh tanpa usul periksa. Dalam hal ini menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan sewajarnya merafak sembah memohon ampun atas keterlanjuran timbalannya itu.

Bukan itu sahaja, Tengku Adnan juga mesti memohon maaf kepada orang ramai kerana telah menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak senang hati mereka yang mungkin telah terarah ke pihak Majlis Raja-raja akibat kecuaian pihak kementerian yang diketuai Tengku Adnan dan juga pihak DBKL.

Saya juga ingin menyarankan supaya Tengku Adnan dan seluruh kementeriannya kembali belajar dan membaca kitab Sejarah Melayu, berikutan kenyataannya hari ini yang mendakwa nama-nama jalan diubah kerana tidak mempunyai erti.

“Jalan Mahameru? Apa (makna) mahameru? Orang Asli Mahmeri saya tahulah. Jalan Mahameru, tak tahu apa bendanya,” kata beliau dilaporkan media. Saya tidak percaya ada menteri yang tidak rajin membaca seperti ini.

Saya hanya perlu buat carian Google untuk mengetahui bahawa Mahameru besar ertinya bagi sejarah orang Melayu, tempat lahirnya keturunan Sang Nila Utama di Bukit Siguntang. Kalau malas baca Sejarah Melayu, di Wikipedia juga ada.

Sekiranya jalanraya yang sudah begitu masyhur dan lama pun boleh ditukar nama oleh Ku Nan kononnya kerana ‘tak ada erti’; adakah selepas ini Ku Nan akan menukar nama ‘Kuala Lumpur’ menjadi benda lain pula, memandangkan kotaraya ini bukan lagi kuala penuh lumpur.

Ku Nan mesti memohon ampun kepada Majlis Raja-raja dengan segera. Beliau telah menimbulkan syakwasangka rakyat terhadap peribadi Raja-raja Melayu.