Laporan Malaysiakini tentang kenyataan Pejabat Ketua Pembangkang yang mengatakan artikel “PN berjumpa Agong dengan 118 SD’ adalah berita palsu telah mendedahkan penipuan politik di media sosial Malaysia yang penuh dengan penipuan, fitnah, berita palsu, dan penyebaran maklumat yang salah dan mengelirukan.
Saya teringat kepada kes baru-baru ini di Sydney di mana pihak polis telah menahan seorang lelaki dan mendakwanya atas peranannya dalam skim penipuan “phishing” yang telah menyerang rakyat Australia dengan lebih 17 juta SMS palsu yang berlakon seakan-akan datang dari pihak Australia Post atau Linkt.
Semasa pihak polis menggeledah kediamannya di Sydney, pihak polis menemui dua kotak modul identiti pelanggan (kad SIM) dan barangan elektronik yang konsisten dengan dakwaan bahawa lelaki ini menjalankan kerja-kerja penipuan melalui SMS.
Masalah berita palsu di media sosial ini bukanlah satu perkara yang unik untuk Malaysia, tetapi adalah satu masalah yang ada di seluruh dunia, hasil dari kedatangan Era Maklumat dan Internet.
Tetapi, semasa negara lain dilanda masalah penipuan media sosial yang melibatkan perniagaan, kebajikan, cinta, e-dagang, atau tawaran pekerjaan, Malaysia terus berada di hadapan dengan penipuan sosial media dalam arena politik, mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama dalam Malaysia yang majmuk.
Malaysia boleh memimpin dunia dalam mendedahkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan penyebaran maklumat yang salah dan mengelirukan di media sosial dari segi politik dengan mengambil tindakan tegas terhadap berita palsu dan ucapan kebencian, terutamanya mengenai isu penumbangan kerajaan Anwar Ibrahim yang dipilih sah melalui langkah-langkah “pintu belakang”.