Skip to content

Malaysia harus gunakan kebijaksanaan diplomatik, perhalusi kaedah segera bawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)

IPOH: Malaysia mempunyai peluang untuk mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di atas jenayah peperangannya terhadap Palestin menerusi Konvensyen Genosid.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee berkata, perkara berkenaan boleh dilakukan menerusi kebijaksanaan diplomasi dan kerjasama dengan pelbagai pihak, walaupun Malaysia bukanlah salah satu negara yang menandatangani Statut Rom dan tidak terikat dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Untuk itu, Howard yang juga Ahli Majlis Perundingan Hal Ehwal Luar Negeri kepada Menteri Luar dan Ahli (JKPK) Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa mencadangkan supaya Malaysia boleh menarik pengecualian untuk Artikel IX dalam Konvensyen Genosid SECARA SEMENTARA, bagi memberi ruang kepada Malaysia untuk bertindak ke atas Israel.

Ini jelas beliau dapat memberikan ruang buat, Malaysia secara terus mengheret regim Zionis-Tel Aviv ke mahkamah ICJ.

“Rujukan Malaysia terhadap Israel kepada ICJ untuk jenayah Genosid terhadap warga Palestin melibatkan pertimbangan undang-undang, politik dan diplomatik yang rumit.”

“Ia memerlukan usaha global melibatkan kerjasama daripada perundangan dan kemanusiaan global untuk menjalankan pemeriksaan rapi di bawah takrifan dan piawaian Konvensyen Genosid, dan hasilnya boleh memberi implikasi yang meluas kepada undang-undang antarabangsa dan konflik Israel-Palestin.”

“Saya menyeru kepimpinan Kerajaan Malaysia ini untuk bertindak sekarang dengan memulakan prosiding mengheret Israel ke hadapan ICJ, pada masa yang sama menyokong usaha-usaha rakan kongsi kita berurusan dengan ICC, bukan hanya untuk warga Palestin, tetapi juga atas nama integriti PBB dan nama kemanusiaan,” tegas Howard.