Skip to content

Malaysia mampu untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” dengan menjadi contoh bagaimana empat tamadun dapat membina persefahaman, toleransi, dan keamanan dan mengelakkan persengketaan antara kaum atau agama

Saya gembira untuk berada di sini, di Kluang, sempena majlis pelancaran penulisan rakan baik saya, K. Siladass, yang telah dikumpul lebih dari setengah abad dalam “Sinthanai Sei Maname” (Fikir).

Saya tidak akan berpura-pura untuk memahami bahasa Tamil, tetapi saya tahu apa yang dimaksudkannya – Fikir!

Majlis hari ini mengingatkan saya kepada perdebatan awam yang saya sertai dengan ahli akademik, Naquib Al-Attas, 55 tahun yang lepas pada tahun 1968 mengenai makna sastera dan budaya Malaysia.

Nasihat Siladass adalah satu perkara yang patut direnung oleh semua rakyat Malaysia – untuk memikirkan peranan mereka, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga dalam konteks dunia.

Adakah rakyat Malaysia ada apa-apa yang boleh disumbangkan kepada dunia atau adakah kita sudah ditakdirkan untuk berakhir sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik?

Saya mencari semula ucapan saya dalam perdebatan awam pada tahun 1968 ini dan mendapati yang saya telah mengatakan perkara berikut:

“Untuk sepuluh tahun pertama selepas merdeka, Ceylon disebut sebagai sebuah negara yang telah berjaya menyelesaikan masalah perkauman mereka. Kemudian, negara ini dilanda bara perkauman.

“Sehingga dua tahun yang lepas, Nigeria di Afrika digambarkan sebagai contoh terbaik demokrasi pelbagai etnik, malah sering dibandingkan dengan eksperimen Malaysia di Asia. Tetapi hari ini, negara tersebut berantakan dan telah menjadi sebuah teater pembunuhan suku beramai-ramai, kerosakan, genosid, dan kezaliman melampau.”

Adakah kita telah berjaya mengelakkan tragedi yang melanda Sri Lanka (yang sebelum ini dikenali sebagai Ceylon) dan Nigeria?

Kita telah melahirkan Diaspora Malaysia dalam tahun 70-an, di mana lebih dari sejuta rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama yang cemerlang dan berbakat memilih untuk kekal di luar negara, menjadikan negara-negara lain ini yang hebat dan bukannya Malaysia.

Salah satu sebab Malaysia amat terpolarisasi hari ini adalah kerana politik toksik dan memecah belah dalam era maklumat, di mana maklumat, bersama dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu, dapat bergerak sepantas cahaya.

Terdapat sesetengah pemimpin yang tidak bertanggungjawab yang mahu rakyat Malaysia untuk percaya bahawa kaum dan agama mereka sedang diancam oleh kaum dan agama lain, sedangkan perkara ini jauh daripada kebenarannya.

Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, tidak mahu tercetusnya Perang Kaum atau Perang Agama di Malaysia.

Sebaliknya, masyarakat majmuk berbilang etnik, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia ini telah memberikan kita peluang untuk memberikan pengajaran kepada komuniti global.

Malaysia berada di titik pertemuan empat tamadun hebat – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat. Sekiranya kita dapat gembelengkan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat ini, kita mampu untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dicita-citakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

Malaysia perlu menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keamanan antara kaum dan agama kepada masyarakat dunia, kerana dunia kita sekarang semakin mengecil dengan kepantasan teknologi komunikasi hari ini dan semua negara, bangsa, dan agama perlu belajar untuk untuk hidup bersama dengan persefahaman, toleransi, dan keamanan sekiranya kita tidak mahu berakhir dengan kejadian pembunuhan di antara satu sama lain dalam Perang Kaum atau Perang Agama.

Di sinilah peluang untuk Malaysia majmuk menyumbang kepada dunia.