Sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia menjamin hak setiap warganegara untuk meraikan warisan budaya masing-masing. Presiden CUEPACS perlu diperingatkan bahawa penjawat awam daripada komuniti Iban dan Kadazan mempunyai hak yang sama untuk menyertai acara sosial, termasuk perayaan Krismas, sama ada dengan atau tanpa hidangan minuman beralkohol. Begitu juga, penjawat awam daripada komuniti India dan Cina berhak menyambut Deepavali dan Tahun Baru Cina mengikut tradisi dan amalan budaya mereka, sama ada dengan atau tanpa kehadiran minuman keras.
Kepelbagaian budaya ini merupakan kekuatan yang memperkaya identiti nasional kita.
Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak agar tidak membesar-besarkan isu kehadiran Menteri Pelancongan pada majlis industri pelancongan yang lepas. Fokus utama kita sekarang seharusnya tertumpu kepada usaha memulihkan industri pelancongan negara, yang merupakan salah satu nadi penting dalam menjana ekonomi Malaysia, dan bukannya mencipta kontroversi yang tidak produktif.