Pada 26hb Oktober 2014, Indonesia mencapai tonggak sejarah dengan pelantikan 8 wanita menteri kepada Kabinet Presiden Joko Widowi yang berjumlah 34 orang. Ini termasuk Menteri Luar Negeri wanita pertama.
Pelantikan bersejarah ini adalah sebahagian daripada trend perwakilan politik wanita yang semakin meningkat dalam sistem demokrasi Indonesia yang semakin matang. Dalam pilihan raya 2014 Indonesia, peratus calon wanita mencapai 37% (2,467 daripada 6,619 calon) yang telah meningkat daripada 30% pada tahun 2009. Dalam pilihan raya 2009, wanita memperolehi 18.2% atau 108 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, meningkat daripada 11% pada tahun 2004.
Sebaliknya, Malaysia jauh ketinggalan di peringkat Eksekutif dan Perundangan. Daripada Kabinet Malaysia seramai 35 menteri, hanya 2 daripada mereka adalah wanita. Dalam pilihan raya Parlimen tahun 2013, hanya 10.7% atau 56 daripada 523 calon dari semua parti politik adalah wanita. Pada masa ini, wanita memegang hanya 10.4% atau 23 kerusi Parlimen, iaitu peratusan yang gagal bertambah baik sejak 1999.
Untuk menambah penghinaan kepada kecederaan, kedudukan Malaysia dalam Global Gender Gap Report 2014 (Laporan Jurang Gender Antarabangsa 2014) yang baru dikeluarkan oleh World Economic Forum (Forum Ekonomi Dunia) mengesahkan rekod antarabangsa Malaysia yang kian merudum. Indeks Pemberdayaan Politik mengambil kira bilangan wanita di Parlimen, wanita yang memegang jawatan Menteri dan jumlah tahun wanita menjadi pemerintah negara. Agak memalukan bahawa Malaysia kini menduduki tangga ke-132 daripada 142 buah negara, kedua paling teruk dalam ASEAN sebelum Brunei yang menduduki tangga ke-142 dan langsung tidak mengadakan pilihan raya. Indonesia jauh mendahului Malaysia di tangga ke-86 daripada 142.[1]
Mengapakah Indonesia mampu mengatasi kita dengan begitu drastik? Mengapakah perwakilan wanita dalam politik di Indonesia terus meningkat manakala di Malaysia ia kekal lembab? Jawapan terletak pada reformasi pilihan raya Indonesia yang dijalankan sejak pendemokrasian pada tahun 1999 – terutamanya kuota 30% wanita dan sistem perwakilan berkadar.
Kuota 30% wanita mula diperkenalkan melalui Pasal 65 (1) Undang-undang Pemilu 12/2003, yang menyatakan bahawa ‘setiap partai politik peserta pemilu dapat mengajukan calon anggota DPR, DPRD Provinsi, dan DPRD Kabupaten/Kota untuk setiap daerah pemilihan dengan memperhatikan keterwakilan perempuan sekurang-kurangnya 30 persen.’ Walaupun ini adalah kuota bukan wajib, ini kemudian diubah dengan Pasal 55 Undang-undang Pemilu 10/2008 yang menetapkan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada tiga calon dalam senarai parti politik mestilah seorang wanita.
Akhir-akhir ini, parti-parti politik di mana daftar calon mereka tidak memenuhi kuota ini telah dihalang daripada bertanding dalam daerah pemilihan tersebut. Dalam tahun 2014 ini, Komisi Pemilihan Umum (KPU) telah benar-benar membatalkan kelayakan 77 calon dari lima parti di tujuh daerah pemilihan kerana mereka tidak memenuhi kuota 30 peratus tersebut. Oleh kerana penguatkuasaan KPU yang kukuh, kuota 30 peratus itu dicapai di hampir semua daerah pemilihan di seluruh Indonesia.[2]
Indonesia juga mempunyai sistem pilihan raya perwakilan berkadar, yang meningkatkan peluang untuk calon-calon wanita dan minoriti serta memberi peluang yang adil kepada parti-parti yang lebih kecil untuk memperoleh kerusi. Keberkesanan sistem perwakilan berkadar disokong oleh penyelidikan dari Inter-Parliamentary Union (Kesatuan Antara Parlimen), yang mendapati bahawa di peringkat antarabangsa sistem ini berjaya menghasilkan peratusan Ahli Parlimen wanita (25%) pada tahun 2012 yang jauh lebih tinggi dari sistem first-past-the-post (pemenang undi terbanyak) yang diamalkan oleh Malaysia (14%) atau campuran dari kedua-dua sistem (17.5%).[3]
Jika kita di Malaysia ingin menyaingi Indonesia dan negara-negara demokrasi yang kian matang, kita harus berkomitmen untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam politik melalui tindakan konkrit.
Saya menggesa Kerajaan Barisan Nasional untuk mencadangkan pindaan kepada Akta Pilihan Raya bagi melaksanakan kuota 30% calon wanita untuk semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya akan datang di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, seperti dalam kes Indonesia. Suruhanjaya Pilihan Raya juga harus serius mempertimbangkan penukaran sistem pilihan raya first-past-the-post yang sedia ada kepada sistem perwakilan berkadar.