Malaysia adalah antara negara OIC teratas dalam tahun-tahun awal Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan oleh Transparency International (TI) bermula pada tahun 1995.
Untuk enam tahun, dari tahun 1995 hingga 2000, kedudukan Malaysia kukuh sebagai negara OIC teratas dalam siri TI CPI.
Kemudian, pada tahun 2001, Tunisia mengatasi kedudukan Malaysia dengan tempat ke-31 dan markah 5.3 per 10 manakala Malaysia pula berada di tempat ke-36 dengan markah 5.0 per 10 dan Jordan di tempat ke-37 dengan markah 4.9.
Tetapi pada tahun 2003 pula, negara-negara Timur Tengah Oman, Bahrain, Qatar, dan Kuwait mula dimasukkan dalam siri TI CPI, Malaysia masuk ke dalam fasa terbantut dan mula mencatatkan kemerosotan, dengan Malaysia terletak di tempat ke-37 dari 138 negara dengan markah 5.2 (kedudukan yang dikongsi bersama dengan Emiriah Arab Bersatu) – di belakang Oman (tempat ke-26, markah 6.3), Bahrain (tempat ke-27, markah 6.1), Qatar (tempat ke-32, markah 5.6), dan Kuwait (tempat ke-35, markah 5.3).
Pada tahun 2005, Malaysia ditinggalkan di belakang lima negara OIC apabila kita ditempatkan di tempat ke-39 dengan markah 5.1. Lima negara OIC ini adalah Oman (tempat ke-28, markah 6.3), UAE (tempat ke-30, markah 6.2), Qatar (tempat ke-32, markah 5.9), Bahrain (tempat ke-36, markah 5.8), dan Jordan (tempat ke-37, markah 5.7).
Sejak tahun 2006, Malaysia ditinggalkan di belakang antara dua ke enam negara OIC dalam siri tahunan CPI TI.
Sebagai contoh, dalam TI CPI 2022 yang terkini, Malaysia berada di belakang tiga negara OIC – UAE (tempat ke-27, markah 67/100), Qatar (tempat ke-40, markah 58), dan Arab Saudi (tempat ke-54, markah 51), manakala Malaysia berkongsi kedudukan dengan Turkiye di tempat ke-61 dengan markah 47 per 100.
Kedudukan terbaik negara kita dalam TI CPI dalam dekad yang lepas adalah pada tahun 2020 apabila kita berada di tempat ke-57 dengan markah 51 mata – kedudukan di mana kita dijangkakan akan mengatasi Arab Saudi, malah mungkin juga Oman dalam beberapa tahun sekiranya kita meneruskan penambahbaikan dalam usaha membanteras rasuah. Malangnya, konspirasi politik Langkah Sheraton terjadi pada Februari 2020 dan Malaysia terus kembali ke arah kemerosotan dalam TI CPI untuk dua tahun yang seterusnya.
Dengan usaha membanteras rasuah kerajaan perpaduan Anwar dalam lima bulan yang lepas, Malaysia kini berada dalam hala tuju untuk menunjukkan pemulihan kedudukan carta TI CPI dalam beberapa tahun yang akan datang, tetapi banyak lagi perkara yang perlu dilakukan sekiranya kita ingin menjadi negara OIC teratas dalam carta TI CPI.
Mantan pemimpin PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, pasti akan menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia negara OIC teratas dalam TI CPI, tetapi adakah Hadi Awang, yang sebelum ini menyalahkan orang bukan Melayu atas masalah rasuah di Malaysia dan cuba mengatakan yang rasuah boleh diterima sekiranya dilakukan oleh pemimpin Islam, akan menerima cita-cita untuk menjadikan Malaysia negara OIC teratas dalam penerbitan TI CPI setiap tahun ini?