Skip to content

Malaysia perlu menyelesaikan kedua-dua masalah jerebu alam sekitar dan jerebu politik di dalam negara

Semalam, bersama dengan mantan Menteri Industri Utama dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, saya telah melawat pameran Greenpeace mengenai isu jerebu di tapak pawagam Rex di Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

Lawatan ini mengingatkan saya kepada dua perkara:

Pertama, kawasan di sekitar Rex adalah kawasan di mana saya memulakan kerja-kerja politik saya pada tahun enam puluhan setengah abad yang lepas, ketika mana kami hanya mempunyai beberapa orang penyokong sahaja. Hanya golongan pemuda dengan idealisme dan komitmen yang bersedia untuk meninggalkan kehidupan yang selesa dan menumpukan usaha mereka kepada perjuangan politik untuk sebuah Malaysia yang lebih baik, dengan menampal poster dan menggerakkan sokongan orang ramai untuk perjuangan mereka.

Kedua, jerebu ini bukanlah satu masalah baharu, memandangkan kenyataan pertama saya mengenai jerebu mungkin dikeluarkan pada awal tahun sembilan puluhan. Selepas lebih dari tiga dekad, masalah pencemaran alam sekitar dengan jerebu ini masih membelenggu Malaysia dan ASEAN. Perkara ini menjadi bukti yang menunjukkan sekiranya kita mahukan perubahan, kita perlu ada stamina, keazaman, dan idealisme jangka panjang untuk percaya yang Malaysia boleh menjadi rumah yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

Inilah pengajaran yang perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia, terutamanya selepas konspirasi politik Langkah Sheraton menamatkan kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 22 bulan, menamatkan harapan dan aspirasi ramai rakyat Malaysia yang berharap negara kita dapat berubah menjadi lebih baik melalui proses demokrasi – dengan menjangkakan perubahan untuk berlaku dalam masa beberapa bulan atau tahun.

Kekangan institusi terhadap perubahan berpegang kuat kepada akarnya dan memerlukan masa untuk diatasi, tetapi kita tidak patut menyerah kalah dan sebaliknya perlu sentiasa komited untuk menambah baik institusi-institusi untuk mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih baik untuk semua.

Malaysia buat masa ini berhadapan dengan dua masalah jerebu – masalah jerebu alam sekitar yang disebabkan oleh hutan terbakar di Indonesia dan masalah jerebu politik – mengenai sama ada kerajaan perpaduan Anwar akan dapat bertahan selama lima tahun.

Saya semakin yakin yang kerajaan perpaduan Anwar akan dapat bertahan selama lima tahun dan dapat memulakan proses untuk menambah baik pelbagai institusi dan dasar-dasar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia, memenuhi aspirasi tokoh-tokoh kemerdekaan negara.

Adakah aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” satu perkara yang mustahil untuk dicapai, di mana bukan sahaja Wawasan 2020 dan sembilan matlamat strategiknya diabaikan, tetapi konsep “Proklamasi Melayu” menjadi buah fikiran utama hari ini?

Saya tidak rasakan begitu.

Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng, telah membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengenai kenyataannya yang antaranya mengatakan orang Melayu sedang “ditipu secara terang-terangan”.

Dalam laporan polisnya, Lip Eng menggesa pihak polis untuk menyiasat presiden PAS ini di bawah pelbagai peruntukan undang-undang yang meliputi jenayah fitnah, penghinaan dengan tujuan menggugat ketenteraman awam, kenyataan yang boleh membawa kepada kerosakan awam, Akta Hasutan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hadi telah mengulangi seruannya supaya orang Melayu bersatu, mengatakan yang kaum tersebut sedang ditipu. Ahli Parlimen Marang tersebut juga mendakwa yang orang Melayu telah kehilangan kuasa politik mereka dan sedang ditipu akibat kelekaan mereka sendiri.

Hadi juga menempelak orang Melayu yang bekerja dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu yang didakwanya sebagai “perompak terbesar”.

Inilah “jerebu politik” yang perlu dihapuskan, di mana tanpa merendahkan hak mana-mana parti untuk ke Parlimen dan membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, semua usaha hendaklah ditumpukan untuk memastikan terdapatnya kestabilan politik di Malaysia untuk menyatukan masyarakat majmuk yag berbilang kaum, agama, dan budaya.

Adakah PAS dan Bersatu dari Perikatan Nasional (PN) bersetuju yang Malaysia patut menjadi negara contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, agama, budaya, dan tamadun kepada seluruh dunia?