Skip to content

Malaysia perlu pastikan episod kegagalan Siti Mastura menjadi contoh terakhir kemerosotan negara supaya negara kita dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia

Malaysia perlu pastikan episod kegagalan Siti Mastura menjadi contoh terakhir kemerosotan negara dan kita juga perlu tinggalkan episod-episod memalukan seperti ini dalam lipatan sejarah supaya negara kita dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Menjadi satu perkara yang memalukan untuk negara apabila kita ada seorang individu yang buta media menjadi bukan setakat seorang Ahli Parlimen, malah juga dianugerahkan ijazah doktor falsafah!

Sekiranya Siti Mastura menggunakan akalnya – satu nilai yang sepatutnya telah diterapkan kepada mana-mana pelajar di peringkat sekolah rendah atau menengah dalam mana-mana sistem pendidikan yang baik – untuk untuk menyemak dahulu betul atau salah tuduhan yang mengatakan kononnya saya ini berkait dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, atau Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew – sangat mengerikan apabila seorang pemegang ijazah doktor falsafah boleh mengubah namanya kepada “Lim” Kuan Yew – dia pasti akan dapati banyak bahan-bahan di Internet yang mencabar kesahihan tuduhan-tuduhan ini.

Mengetepikan sebentar unsur-unsur fitnah terhadap saya dan orang-orang lain yang disebutnya, saya minta Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, untuk mengambil maklum dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perkara yang amat memalukan terhadap maruah Parlimen Malaysia dan juga sistem pendidikan tinggi negara kita ini.

Siti Mastura boleh dapati pelbagai sumber-sumber di Internet yang menyangkal kesahihan tuduhan-tuduhan ini dan persoalannya sekarang, mengapa dia gagal berbuat demikian?

Dia boleh rujuk kepada kenyataan media saya pada awal tahun 2017, di mana saya menafikan kesahihan rajah “salasilah keluarga” yang mengatakan kononnya saya ini berkait dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew.

Bagaimanakah Siti Mastura boleh bertindak tanpa berfikir sebegini sekali dan masih menerima ijazah doktor falsafah?

Atau seperti yang dikatakan oleh Kee Thuan Chye, penulis dua jilid biografi mengenai saya katakan: “Saya tahu yang tuduhan ini tidak betul. Saya catatkan perkara ini dalam halaman 458 Jilid Dua saya!”

Kee merujuk kepada tiga perenggan dalam halaman 459 Jilid Dua, yang mengatakan:

“Satu lagi penipuan mendakwa yang Kit dan para pemimpin DAP yang lain adalah bersaudara dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, yang telah mati pada tahun 2013.

“Malah, satu carta “salasilah keluarga” palsu telah disebarkan di Internet, menunjukkan yang kononnya Chin Peng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kit, Teresa Kok, Tony Pua, Anthony Loke, Nga Kor Ming, Ngeh Koo Ham, Nizar Jamaluddin, Lim Guan Eng – dan juga Lee Kuan Yew!

“Perkara ini berbunyi seperti satu gurauan, jadi Kit menjawab pendek mengatakan: ‘Selain dari Lim Guan Eng, saya tidak tahu bagaimana saya boleh ada talian persaudaraan dengan semua individu-individu yang dinamakan ini.’”