Skip to content

Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H)

Saya menggesa pihak berkaitan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen untuk mempercepatkan usaha penambahbaikan syarat bagi kemasukan pemohon asing melalui program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H).

Hal ini sudah dibangkitkan beberapa kali oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor dan juga mendapat perhatian DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Iskandar.

Malangnya, ia masih dalam peringkat semakan dan tiada tindakan susulan yang sewajarnya.

Hal ini agak membimbangkan kerana setelah program ini diaktifkan semula oleh pihak Kerajaan pada Ogos, 2021, syarat sedia ada telah diperketatkan dengan beberapa penambahan menyebabkan banyak permohonan ditolak.

Sebelum ini, Persatuan Perunding MM2H mendakwa jumlah pemohon program itu menurun 90% selepas syarat ketat diperkenalkan.

Antara syarat baru yang diperketatkan adalah pemegang visa MM2H perlu memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM40,000 berbanding RM10,000 sebelumnya, mempunyai aset cair RM1.5mil berbanding RM500k sebelumnya, kadar bayaran pemprosesan RM5,000 kepada principal dan RM2,500 kepada tanggungan.

Saya berharap syarat dapat dilonggarkan dengan sewajarnya tanpa mempengaruhi keselamatan negara kerana mereka hanya diberikan visa untuk bermastautin, bukannya status kewarganegaraan.

Saya bersetuju dengan syarat 90 hari keberadaan di Malaysia tetapi mencadangkan untuk melonggarkan syarat lain kepada hanya RM25,000 pendapatan bulanan, RM500,000 simpanan, RM1juta aset cair, RM5,000 kadar bayaran pemprosesan bagi peserta principal sahaja, tanggungan tidak perlu.

Pada pendapat saya, sektor pelancongan yang kreatif mampu menarik pelancong yang lebih berkualiti ke negeri Johor, seterusnya merangsang kepada pelaburan asing.

MM2H ini adalah inisiatif yang sangat bagus kepada perkembangan ekonomi negara dan merupakan ‘win-win situation’ kepada kebanyakan sektor di negara kita.

Dengan adanya MM2H, ia akan menarik minat pelancong asing untuk berhijrah ke negara kita bersama keluarga seterusnya memberi domino impak dalam bidang ekonomi, hartanah, perhotelan, makanan, pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan juga hiburan disini.

Selain itu, golongan ini juga berpotensi untuk menjadikan kawasan seperti Forest City berkembang pesat dengan penambahan lebih ramai penduduk dikawasan tersebut.

Lebih banyak kediaman bakal diisi samada dibeli atau disewa oleh mereka, seterusnya mengurangkan isu bangunan terbengkalai.

Dalam isu ini, kita perlu mengurus dengan sewajarnya kerana jika syarat terlalu longgar, ianya akan mengancam keselamatan negara, tetapi jika terlalu ketat, mengganggu sektor ekonomi untuk berkembang dengan lebih cepat dan pesat.

Melalui data dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Buddaya, sebanyak lebih 43,000 pemohon dari 131 buah negara telah diluluskan antara tahun 2002 sehingga 2018. (sebelum diberhentikan sementara dan diaktifkan semula pada Ogos, 2021).

Namun, seramai 1,461 peserta MM2H menarik diri daripada program ini antara September 2021 sehingga Jun 2023 atas pelbagai alasan termasuk ketidakmampuan untuk memberi komitmen kepada MM2H.

Secara kumulatif, program ini telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion antara 2002 sehingga 2019 dan menunjukkan sambutan hangat dari warga luar terutama China.