Skip to content

Malaysia sebagai negara contoh untuk melakukan perubahan dari sebuah negara “rahsia rasmi” kepada negara dengan “kebebasan maklumat”

44 tahun lepas, pada 16 Oktober 1976, saya membawa suatu usul bagi pihak DAP di Parlimen untuk memperkenalkan rang undang-undang persendirian (private member’s bill) yang bertajuk “Akta Kebebasan Maklumat” untuk memastikan keterbukaan kerajaan dan mengelakkan adanya undang-undang yang menyembunyikan ketidak cakapan, salah tadbir, atau salah laku dan rasuah.

Saya membawa usul ini dengan harapan bahawa sekiranya Malaysia ingin mempunyai demokrasi berparlimen yang bermakna, kita perlu wujudkan sebuah kerajaan yang lebih terbuka, yang menghormati dan menegakkan hak rakyat untuk mengetahui semua perkara yang memberikan kesan kepada negara dan juga rakyat.

Saya katakan dengan jelas yang DAP menerima bahawa ada sesetengah perkara sulit yang benar-benar perlu dilindungi dengan hukuman jenayah, seperti perkara yang melibatkan perkara keselamatan negara, pertahanan, mempertahankan keamanan dalam negara, maklumat peribadi, dan lain-lain lagi.

Pada tahun 1978, saya didakwa dan disabit bersalah atas lima tuduhan melanggari Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) kerana mendedahkan perbelanjaan berlebihan yang melibatkan pembelian empat kapal SPIC A-M buatan Sweden yang bernilai RM166 juta, yang kemudiannya diturunkan kepada RM157 juta dengan penjimatan sebanyak RM9 juta.

Tidak ada sebarang penghargaan ditunjukkan dari pihak Eksekutif selepas menjimatkan RM9 juta untuk negara, mereka sebaliknya mahu saya dipenjara dan dilucutkan kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen akibat pendedahan saya yang dibuat demi kepentingan negara. Tetapi, ada badan kehakiman yang bebas dan Mahkamah Persekutuan telah mengurangkan hukuman terhadap lima sabitan ini kepada denda di bawah nilai RM2,000.

Kes saya ini telah membawa kepada pindaan Akta Rahsia Rasmi pada tahun 1986 yang membawa kepada hukuman penjara mandatori minima satu tahun untuk apa-apa kesalahan di bawah Akta ini.

Dalam ucapan saya semasa perbahasan pindaan OSA pada 5 Disember 1986, saya telah katakan yang rang undang-undang pindaan OSA ini mencabuli jaminan hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan.

Pindaan ini juga merendahkan doktrin pemisahan kuasa di antara badan Eksekutif, Parlimen, dan Kehakiman, menjadi satu hukuman mati kepada akhbar yang bebas dan sebuah kerajaan yang terbuka dan bertanggungjawab.

Kita berada dalam era informasi, yang bermakna, hak untuk mendapatkan maklumat perlulah menjadi agenda utama hari ini dan bukannya sebagai suatu perkara yang luar biasa.

Masanya telah tiba untuk Malaysia menjadi negara contoh kepada dunia dalam melakukan peralihan dari sebuah negara “rahsia rasmi” kepada sebuah negara dengan “kebebasan maklumat”.

Dengan penerbitan laporan siasatan tragedi nahas Double-Six Nomad pada 6 Jun 1976, diikuti dengan penerbitan laporan siasatan oleh Australia, saya ulangi seruan saya kepada kerajaan perpaduan Anwar untuk menyahrahsiakan empat lagi penerbitan lain, laporan jawatankuasa khas pengurusan pekerja asing oleh Hishamuddin Yunus, laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), dan untuk membatalkan pengharaman terhadap buku Bernard Sta Maria, “The Golden Son of the Kadazan” untuk membuat peralihan dari sebuah negara “rahsia rasmi” kepada sebuah negara dengan “kebebasan maklumat”.

Perkara ini akan menjadi satu hadiah yang sangat bermakna kepada semua rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini.