Keputusan sebulat suara panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menghina khidmat patriotik Anwar selama 47 tahun kepada negara dalam memperjuangkan keadilan, kebebasan, maruah insani dan pembinaan negara-bangsa Malaysia, ia juga merupakan suatu perbuatan yang merugikan reputasi antarabangsa negara dan juga Wawasan 2020 di mana Malaysia diharapkan mencapai status negara maju dalam masa lima tahun lagi.
Akibat keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, Malaysia sekali lagi menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa bersabit persoalan kedaulatan undang-undang, demokrasi dan hak asasi manusia – tiada permulaan yang lebih buruk buat Malaysia pada tahun ini, sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB dan sebagai negara Pengerusi ASEAN.
Amerika Syarikat, United Kingdom, kerajaan Kanada dan Australia, Kesatuan Eropah dan juga media antarabangsa serta badan hak asasi manusia semuanya telah menyatakan amaran terhadap keadaan Malaysia yang kian terjerumus menjadi sebuah negara ‘samseng’.
Jurucakap Majlis Keselamatan Dalam Negeri White House Bernadette Meehan berkata bahawa Amerika Syarikat amat runsing dengan pendakwaan Anwar dan resah dengan perihal kedaulatan undang-undang di Malaysia.
Jabatan luar dan komanwel United Kingdom berkata bahawa selain daripada integriti dan kedaulatan undang-undang, Malaysia mestilah menghayati kesederhanaan dan toleransi jika mahu berjaya.
Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur menyifatkan penghakiman terhadap Anwar tiba pada saat Kanada dan negara-negara lain telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai pendakwaan terpilih, termasuk Akta Hasutan 1948.
Malah editorial Singapore Business Time pun menulis bahawa keyakinan awam terhadap badan kehakiman telah menjunam sehinggakan sedikit sekali yang benar-benar terkejut dengan hasil keputusan semalam.
Malah, kenyataan yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, beberapa minit sahaja selepas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakarian mengumumkan keputusan sebulat suara terhadap rayuan Anwar, tetapi sebelum hukuman dijatuhkan; hanya menambah kepada saya wasangka dalam dan luar negara terhadap sama ada wujud kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang yang adil.
Ini mengundang ucapan Anwar dari kandang tertuduh terhadap para hakim, mendakwa mereka telah menggadaikan jiwa raga mereka kepada iblis dan tunduk kepada arahan tuan politik, dan dalam proses tersebut bersubahat membunuh kebebasan dan integriti badan kehakiman.
Ini pula mengakibatkan kelima-lima hakim Mahkamah Persekutuan keluar meninggalkan kamar mahkamah ketika Anwar masih berucap, pertama kali dalam sejarah 58 tahun badan kehakiman Malaya/Malaysia.
Tidak hairan kenapa Presiden Majlis Peguam Chistopher Leong turut terpanggil memberi komen tentang kejanggalan yang begitu terserlah dalam keputusan kes liwat Anwar memberi sebab kepada timbulnya keraguan bahawa kes Anwar adalah sebuah pendakwaan politik berbanding pendakwaan jenayah.
Sebagai contoh, kenapa si pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak didakwa meskipun pendakwaan terhadap ketua pembangkang dibuat di bawah pertuduhan hubungan seks luar tabii secara konsensual memandangkan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa faktor ‘kerelaan’ bukanlah keperluan bagi kesalahan tersebut.
Tambahan pula, jarang sekali pihak pendakwaan menggunakan undang-undang yang menjenayahkan ‘seks luar tabii’ yang melibatkan kedua-dua seks oral dan liwat, dengan Anwar didakwa dan disabitkan sebanyak dua kali untuk kesalahan seksual antara dua orang dewasa sedangkan pertuduhan tidak mengandungi elemen paksaan.
Hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar akan tamat sebaik sahaja beliau berusia 72 tahun dan kemudian hilang kelayakan menjawat jawatan melalui pilihanraya untuk tempoh lima tahun selepas dibebaskan, kecualilah jika kerajaan Umno/BN ditumbangkan pada PRU ke-14.
Babak-babak menyayat hati Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Nurul Izzah dan lima adik beradiknya serta cucu-cucu Anwar di Mahkamah Persekutuan ketika rayuan beliau ditolak dan hukuman diberikan mengingatkan saya kepada memori sedih 17 tahun lalu di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ketika itu, mangsa pendakwaan terpilih tersebut ialah Lim Guan Eng, yang sewaktu itu Ahli Parlimen Kota Melaka, yang dihukum kerana membela nasib seorang gadis berusia 15 tahun di Melaka, dan kalah dalam rayuan terakhirnya dan terus dihantar ke Penjara Kajang untuk dihukum penjara selama 18 bulan.
Seluruh keluarga Lim berada di mahkamah pada waktu itu, tetapi kami semuanya tidak dapat melakukan apa-apa, sama seperti Azizah dan keluarga di Istana Kehakiman Putrajaya semalam.
Perjuangan demi keadilan, kebebasan dan maruah insani – yang telah menerima dedikasi seluruh hayat Anwar – harus terus menyala dengan lebih marak lagi di hati dan jiwa seluruh rakyat Malaysia sehinggalah ketidakadilan dan salahguna kuasa ini sekadar menjadi igauan masa silam.
Seperti yang saya sebutkan di majlis makan malam ‘Rakyat Hakim Negara’ di Petaling Jaya di ambang keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas kes Anwar pada Isnin malam, Pakatan Rakyat adalah manifestasi kejayaan terbesar Anwar dalam agenda nasional ke arah perubahan.
Pakatan Rakyat mencapai kejayaan yang tidak dibayangkan pada tahun 2008 dan kemudiannya pada tahun 2013 apabila Anwar dinafikan tempatnya sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia akibat sistem pilihanraya yang tidak demokratik, sedangkan Pakatan Rakyat telah berjaya meraih 52% undi seluruh negara.
Tiga parti komponen Pakatan Rakyat, DAP, PKR dan PAS; serta begitu banyak NGO dan individu tidak terkait kerajaan yang telah memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Pakatan dalam tempoh tujuh tahun yang lalu, mestilah turut bersedia untuk berjuang sehingga ke akhirnya bagi memastikan kejayaan Pakatan Rakyat.
Biar saya ulang ikrar yang telah buat bagi pihak DAP pada Ambang pemenjaraan ketiga Anwar:
“Kita tidak menyembunyikan hakikat bahawa Pakatan sedang dilanda krisis terbesar sejak ia dibentuk tujuh tahun lalu, cabaran yang lebih hebat berbanding krisis pertama yang dihadapi Pakatan pada September 2011, yang hampir sahaja menamatkan riwayat Pakatan Rakyat.
“Sekiranya Pakatan Rakyat berpecah ekoran kontroversi hudud pada September 2011, maka keputusan bersejarah PRU ke-13 pada 5 Mei 2013 yang menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi 52% undi popular dan menjadikan kerajaan Najib sebuah kerajaan minoriti, dengan kemenangan Pakatan ke atas 89 kerusi Parlimen dan 229 kerusi DUN (tidak termasuk Sarawak) pastinya tidak dapat dicapai.
Sekiranya Pakatan Rakyat berpecah sekarang sebelum pilihanraya akan datang, siapalah yang tahu apa yang akan terjadi pada PRU ke-14 yang bakal berlangsung dalam masa tiga tahun lagi.
“Oleh kerana Pakatan Rakyat merupakan manifestasi harapan beberapa generasi rakyat Malaysia ke arah perubahan dan kejayaan bagi negara, maka pimpinan DAP bersedia untuk berjuang hingga ke akhirnya bagi memastikan Pakatan Rakyat berjaya – dan saya percaya bahawa ini jugalah sentimen dan komitmen yang dikongsi oleh pimpinan PKR dan PAS terhadap janji dan cabaran yang dikemukakan dalam ujikaji Pakatan ini.
“Pakatan hanya boleh mampu bertahan dan berjaya sekiranya kita mematuhi dua prinsip asas yang telah menjadi rahsia kejayaan Pakatan dalam masa enam tahun lalu – kepatuhan terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah menjadi batu asas prinsip-prinsip yang dikongsi ketiga-toga parti komponen serta prinsip beroperasi secara konsensus dalam hal Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai badan pembuat dasar tertinggi dalam Pakatan.”
Penghormatan terbesar yang boleh kita berikan kepada Anwar di saat beliau memulakan tempoh penjara ketiga ini ialah dengan memperkukuhkan dua prinsip asas ini yang telah menjadi rahsia kejayaan Pakatan Rakyat, kerana ia akan memberikan kekuatan demi kekuatan kepada Pakatan – sesuatu yang amat ditakuti oleh lawan politik kita dari Umno/BN, dan mereka terus mencuba untuk menghancurkan integriti dan kelangsungan hidup Pakatan Rakyat dengan menghancurkan dua prinsip asas Pakatan tersebut.