Skip to content

Malaysia semakin miskin apabila pendapatan utamanya jatuh

Apakah nasib negara kita apabila harga petrol di pasaran antarabangsa menurun dan nilai matawang negara juga turut menjunam. Kedua-dua faktor ini telah meruncingkan keadaan ekonomi negara dan kedudukan kewangan menjadi semakin tidak menentu.

Walaupun kerajaan menafikan bahawa kita sedang dilanda krisis ekonomi, tetapi penurunan harga petrol di pasaran antarabangsa dan penurunan nilai matawang negara pasti akan memberi kesan ataupun impak yang keterlaluan.

Kerajaan harus lebih peka terhadap instrumen-instrumen ekonomi yang menghadapi masalah dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sindrom penafian kerajaan Barisan Nasional tidak boleh menyelesaikan masalah, malah ini boleh memerangkap rakyat kita dalam keadaan keliru dan kabur.

Negara kita amat bergantung kepada sektor petroleum. Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Wan Zulkiflee Wan Ariffin sendiri telah mengakui bahawa industri minyak dan gas negara kita tidak memberangsangkan lagi pada masa ini.

Penurunan harga pasaran antarabangsa sejak tahun lalu masih menghantui industri berkenaan. Ini menyebabkan keruntuhan mendadak dalam pendapatan negara. Jika berlaku pengurangan dalam pendapatan negara, ini pasti akan menjadi beban kepada kerajaan melaksanakan pembangunan dan menguruskan negara dengan baik.

Kesannya, pusaran ekonomi negara akan terganggu dan kebajikan rakyat akan tergugat. Implikasi ekonomi adalah amat ketara kerana negara kita akan menjadi semakin miskin apabila pendapatan daripada sektor utamanya jatuh.

Dalam keadaan kejatuhan pendapatan negara, kita juga dilanda krisis penurunan nilai matawang. Ini juga akan memberi kesan ekonomi yang amat buruk kepada negara. Harga barang-barang yang diimport akan menjadi semakin mahal. Ini akan menimbulkan inflasi yang mungkin tidak dapat dikawal lagi.

Kenaikan harga barangan ini akan menjadi beban kepada seluruh rakyat Malaysia. Selain daripada itu, rakyat Malaysia yang melawat negara-negara lain terpaksa berbelanja lebih kerana penurunan nilai matawang negara kita.

Alasan kerajaan bahawa penurunan nilai matawang boleh meningkatkan pendapatan negara melalui industri pelancongan adalah sesuatu tidak masuk akal. Kita tidak boleh bergantung kepada sektor pelancongan semata-mata untuk memulihkan ekonomi negara. Sektor-sektor lain seperti perindustrian, pertanian dan lain-lain lagi akan menghadapi masalah akibat penurunan nilai matawang.

Kedua-dua faktor, harga petroleum dan nilai matawang negara telah melemahkan ekonomi negara kita. Kerajaan harus mengaku keadaan ekonomi negara yang sebenar dan keluar dari sindrom penafian supaya rakyat lebih berhati-hati dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Rakyat berhak mengetahui keadaan ekonomi negara yang sebenar.