Media memetik Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata bahawa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN di Jakarta pada 24 April 2021 (Sabtu) telah berjaya menangani krisis Myanmar. “Kami telah berjaya. Hasil pertemuan hari ini adalah di luar jangkaan kami” tambah beliau. Hasil Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN adalah jauh dari harapan sahih rakyat Myanmar agar negara mereka kembali menjadi sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh mereka secara demokrasi. Bagaimanakah Muhyiddin boleh membuat kesimpulan dan menggambarkan hasil mesyuarat tersebut satu kejayaan di luar jangkaan?
Namun, apa yang boleh kita harapkan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin? Kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin sendiri tidak mempunyai kesahihan kerana kerajaan beliau bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia. Beliau membentuk kerajaan beliau melalui rampasan kuasa yang hampir sama dengan kudeta tentera Myanmar kecuali beliau menggunakan dorongan kepentingan diri dan sogokan dan bukannya melalui kekuatan tentera. Malaysia telah kehilangan kedudukan moralnya untuk bersuara di pentas antarabangsa kerana Langkah Sheraton Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan satu kudeta politik.
Sebagaimana masyarakat antarabangsa dan pelabur-pelabur akan menjauhkan diri dari Myanmar setelah rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021, mereka juga akan menjauhi Malaysia kerana rampasan kuasa yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Komuniti antarabangsa dan pelabur-pelabur akan menjauhkan diri dari Malaysia atas alasan berikut: –
- Mereka meragui kesahihan kerajaan Muhyiddin.
- Mereka meragui kestabilan kerajaannya.
- Kemungkinan besar polisi-polisi kerajaan Muhiyiddin akan ditukar selepas kerajaan yang disokong majoriti rakyat kembali menjadi kerajaan melalui pakatan politik baru atau melalui pilihan raya umum Malaysia yang akan datang.
- Pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin telah memberikan kuasa kepadanya untuk tidak menghormati kedaulatan undang-undang. Ini mencerminkan senario yang sama di negara ketenteraan seperti Myanmar di mana kerajaan boleh tidak menghiraukan kedaulatan undang-undang.
Perdana Menteri Muhyiddin harus menyerahkan kembali kuasa secepat mungkin kepada Pakatan Harapan yang telah dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya dia masih mencintai negara kita. Jikalau beliau dibenarkan terus mentadbir negara ini melalui kuasa-kuasa darurat, negara kita yang tercinta ini akan mengalami kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.
Muhyiddin mungkin akan memberi alasan bahawa Pakatan Harapan tidak mempunyai majoriti mutlak di Parlimen. Sekiranya Muhyiddin bersedia menyerahkan kuasa kepada Pakatan Harapan, Pakatan Harapan akan tahu bagaimana membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Sekiranya beliau dapat membentuk sebuah kerajaan ketika partinya, Bersatu mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang paling sedikit di antara parti-parti utama di Parlimen, pastinya Pakatan Harapan yang mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang terbanyak di Parlimen dapat melakukannya dengan lebih baik.