Skip to content

Malaysia tidak boleh bangkit semula sebagai negara hebat dunia sekiranya rakyat Malaysia tidak boleh membezakan di antara perkara yang betul dengan yang salah dan terus dipengaruh oleh penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian

Bolehkah Malaysia bangkit semula untuk menjadi sebuah negara hebat dunia dan menghentikan kemerosotan yang dialami negara kita dalam beberapa dekad yang lepas di mana kita ditinggalkan di belakang satu demi satu negara?

Saya yakin yang Malaysia mampu untuk berbuat demikian dengan syarat tidak berlakunya diaspora Malaysia kedua, di mana satu atau dua juta lagi rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara untuk menjadikan negara lain yang hebat dan bukannya Malaysia.

Tetapi, ada satu perkara yang pasti – Malaysia tidak boleh bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia sekiranya rakyat Malaysia gagal untuk membezakan di antara perkara yang betul dan perkara yang salah dan terus terpengaruh dengan penipuan.

Semalam, Amanah Kelantan mencabar Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Dauto, untuk membuktikan dakwaannya yang ahli dewan undangan negeri dari parti tersebut terlibat dengan perbuatan yang bertentangan dengan Islam.

Pengarah Kanun Amanah, Hisham Fauzi, mengatakan perbuatan ini perlu memandangkan Nassuruddin secara terbuka telah dalam ceramahnya di Kota Bharu mengatakan bahawa kemenangan PAS dalam enam pilihan raya negeri baru-baru ini adalah kemenangan untuk Islam.

Dia juga mendakwa dua kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan–BN di Kelantan, iaitu Kota Lama dan Galas yang dimenangi oleh Hafidzah Mustakim dari Amanah dan Mohd Syahbudin Hashim dari UMNO, kini dipegang oleh mereka yang “menentang perjuangan Islam”.

Hisham mengatakan yang dakwaan Nassuruddin akan mencipta persepsi yang salah terhadap individu-individu ini sedangkan semua orang Islam berhak untuk membawa perjuangan mereka atas dasar Islam seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, dan hak ini tidak patut “dimonopoli” oleh PAS.

Hisham mengatakan: “Perjuangan Islam bukanlah 100 peratus hanya milik PAS. Perjuangan Islam adalah sebagaimana yang diwariskan Rasullah SAW adalah milik semua Umat Islam.”

Tidak mengejutkan apabila Menteri Besar Kelantan yang baru ini gagal untuk membuktikan yang Amanah ini anti-Islam, sedangkan Presiden PAS, Hadi Awang, juga dikenali sebagai seorang yang suka membuat tuduhan yang tidak dapat dibuktikan dan gagal untuk memberikan satu pun bukti terhadap fitnahnya yang mengatakan bahawa DAP ini kononnya anti-Melayu, anti-Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia.

Hadi adalah contoh utama pemimpin Islam di Malaysia yang membuat tuduhan liar dan tidak berasas terhadap lawan politiknya. Amalan ini perlulah dihentikan dalam era di mana politik toksik penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian telah mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Adakah Hadi cuba mengatakan rakyat Malaysia yang tidak mengundi calon-calon PAS dalam pilihan raya sebagai mempromosikan Islamofobia?

Hadi terlepas pada tahun 2018 apabila dia membuat tuduhan tidak berasas terhadap DAP, mengatakan yang kononnya DAP adalah dalang di sebalik rancangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) sedangkan DAP tidak tahu menahu mengenai isu ini, tetapi Hadi tidak pernah memohon maaf atas tuduhan ini walaupun dia tahu mengenai perkara yang sebenarnya.

Isu ICERD pada tahun 2018 membolehkan Hadi untuk menyebar penipuan dan fitnah yang kononnya DAP ini anti Melayu, anti Islam, dan anti Raja.

Adakah Hadi telah mendapatkan penjelasan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, untuk mengetahui sama ada DAP adalah “dalang” di sebalik ucapan Mahathir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 memandangkan Hadi dan Mahathir kini sudah jadi rakan sekutu politik yang rapat.

Hadi pernah mengatakan yang Perlembagaan Malaysia sebagai “perlembagaan kafir” pada tahun lapan puluhan. Adakah Hadi sudah bertukar fikiran?

Saya tidak dapat lihat Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia untuk mengelakkan nasib sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup sekiranya rakyat Malaysia terus dipengaruhi dengan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian.

Bolehkah rakyat Malaysia tunjukkan kepada dunia bagaimana dalam era media sosial, kita dapat bebaskan diri kita dari kejahatan akibat penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian?