Skip to content

Malaysia tidak dapat pulih daripada kemelesetan ekonomi yang dihadapi sekarang apabila Mahiaddin Md Yassin berkeras menjaga kepentingan politik sendiri, sehingga sanggup mencetuskan krisis perlembagaan dengan menipu Yang DiPertuan Agong dan menentang raja berperlembagaan

Malaysia tidak dapat mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh pekerja dan perniagaan serta pulih dengan cepat daripada kemelesetan ekonomi sekarang, apabila Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin berkeras menjaga kepentingan politik untuk dirinya sendiri, sehingga sanggup mencetuskan krisis perlembagaan dengan menipu Yang DiPertuan Agong dan menggunakan Eksekutif untuk menentang Raja Berperlembagaan. Di antara 3 cabang kerajaan dalam Perlembagaan Persekutuan, Parlimen yang terdiri daripada Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara jelas mempunyai kedudukan tertinggi berbanding Eksekutif dan Kehakiman.

Perdana Menteri bagi pihak Kabinet telah mengeluarkan kenyataan yang menentang, tanpa kekesalan dan bahkan memberontak sebagai tindak balas terhadap ketidaksetujuan DiRaja dan teguran DiRaja yang keras terhadap Kabinet oleh Yang DiPertuan Agong yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Jelas, Perdana Menteri dan Kabinet sedang menggugat sistem Raja Berperlembagaan dalam pertempuran dengan niat untuk menunjukkan bahawa Eksekutif mempunyai kedudukan tertinggi.

Krisis perlembagaan ini boleh dielakkan apabila jelas bahawa Perdana Menteri salah dan perlu meletakkan jawatan kerana enggan menerima kedudukan tertinggi Parlimen. Membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Diraja dan enggan membentangkan Ordinan Darurat untuk dibahaskan dan diundi di Parlimen pada awalnya untuk diluluskan dan kemudiannya untuk diungkaikan, jelas menghina Perlembagaan Persekutuan yang terbina di atas landasan ketinggian kedudukan Parlimen.

Selain daripada keruntuhan keyakinan rakyat yang disebabkan oleh krisis perlembagaan ini, pemulihan yang cepat daripada kemelesetan ekonomi semasa nampaknya masih jauh. 2020 adalah tahun di mana sasaran ekonomi tersasar apabila Malaysia mengalami defisit belanjawan 6.2% daripada KDNK berbanding dengan unjuran awal 6%, kadar pengangguran pada 4.5% berbanding dengan unjuran 4.2% dan pertumbuhan KDNK pada (-5.6%) berbanding dengan unjuran (-5.5%). Dengan ketidakcekapan yang berterusan, ketidakstabilan politik, krisis perlembagaan dan lonjakan pandemik COVID-19, sasaran ekonomi Malaysia yang diunjurkan semasa Belanjawan 2021 berkemungkinan akan mengulangi masalah tersasar dari target seperti tahun 2020.

Bagi tahun 2021, defisit belanjawan tidak akan berjaya dikurangkan kepada 5.4% seperti yang diunjurkan tetapi berkemungkinan meningkat kepada 7%. Kadar pengangguran tidak akan menurun kepada 3.5% tetapi berkemungkinan meningkat kepada 5%. Pertumbuhan KDNK berkemungkinan menguncup daripada unjuran Bajet 2021 yang terlalu optimis sehingga 7.5% menjadi pertumbuhan tidak bermaya pada 4% walaupun terdapat 8 pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion dan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion, yang terbesar dalam sejarah. Dengan kata lain, ekonomi kita tidak akan dipulihkan menjadi normal pada akhir 2021 dan akan masih lebih kecil berbanding akhir tahun 2019, tahun terakhir ketika PH masih memerintah.

Penguncupan ekonomi sebanyak 5.6% pada tahun 2020 telah memberi kesan kepada pekerja biasa dan perniagaan kecil, terutamanya lebih teruk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 7.3% pada tahun 2020 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Penurunan 7.3% ini jauh lebih tinggi daripada penurunan KDNK bukan PKS yang mencatat negatif 4.6% pada tahun 2020. Ini adalah kali pertama sumbangan PKS kepada KDNK lebih rendah daripada KDNK Malaysia dan KDNK bukan PKS sejak 2004.

Apabila PKS gagal, pengangguran pada kadar 4.5% sekarang hanya akan meningkat. Tinjauan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 4 Jun melaporkan bahawa lebih daripada 90% perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko ditutup. Persatuan PKS Malaysia mendedahkan bahawa 100,000 PKS ditutup tahun lalu dan 50,000 lagi dijangka mengalami nasib yang sama akibat “total lockdown” sekarang.

Perdana Menteri yang hilang fokus kerana sibuk memperjuangkan survival politiknya dan di tengah-tengah krisis perlembagaan dengan bertelingkah dengan Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai kemampuan atau minat untuk memastikan kelangsungan hidup dan kelestarian hampir 1 juta PKS yang merangkumi 98.5% daripada semua bentuk perniagaan yang menggaji 7.3 juta rakyat Malaysia pada tahun 2020, yang merupakan 48.0% pekerjaan negara.

Mengapa kerajaan begitu yakin bahawa pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion dan Belanjawan 2021 RM322.5 berjumlah bilion dapat menyelamatkan semua 1 juta PKS yang merangkumi hampir 98.5% daripada semua perniagaan di Malaysia apabila belum ada apa-apa yang berhasil setakat ini?