Skip to content

Mana perginya 1000 bakul makanan yg bernilai RM100 setiap bakul?

Saya berasa terkejut dengan jawapan daripada Menteri Kanan yang mengatakan bahawa 150 bakul makanan yang diberikan kepada Parlimen Rasah adalah sumbangan NGO.

Dato Seri Ismail telah membuat penafian bahawa bakul yang bernilai RM35 setiap satu adalah daripada kerajaan ketika sidang media harian beliau.

Penafian beliau menunjukkan bahawa setakat ini Parlimen Rasah masih belum menerima apa-apa bakul makanan daripada kerajaan pusat PN, walaupun PKP fasa ke-3 hampir ke penghujungnya.

Ketika wakil saya memungut 150 bakul makanan tersebut daripada pejabat JKM Daerah Seremban, pegawai yg terbabit tidak menyebut langsung ia adalah sumbangan NGO. Penafian hanya dilakukan oleh kerajaan pusat selepas saya mempertikaikan nilai bakul makanan tersebut.

Ia jelas menunjukkan kerajaan cuba melepaskan diri daripada ketidakpatuhan terhadap garis panduan dengan menuding jari kepada NGO.

Walaupun ada sumbangan daripada NGO, namun kerajaan pusat tidak sepatutnya melepaskan diri daripada tanggungjawab asas dalam membantu dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Kegagalan kerajaan pusat membekalkan bakul makanan sehingga sekarang amat mengecewakan masyarakat setempat yang wajar dan wajib dibantu segera.

Saya memohon Dato Seri Ismail dan kerajaan pusat PN memberikan jawapan yang jelas, mana perginya 1000 bakul makanan yg bernilai RM100 setiap bakul. Kegagalan kerajaan PN memberikan jawapan yang jelas akan menimbulkan pelbagai persepsi bahawa wujud ketidakpatuhan terhadap garis panduan.

Garis panduan yang dikeluarkan berlandaskan kelulusan Kementerian Kewangan yg bertarikh 27 Mac 2020 dengan jelas menyatakan perolehan bakul makanan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala Pejabat Ahli Parlimen akan melaksanakan kerja pengagihan dari rumah ke rumah.

Saya menggesa Dato Seri Ismail supaya memberikan jawapan, bilakah 1000 bakul makanan utk keluarga B40 di Parlimen Rasah akan dibekalkan untuk diagihkan kepada keluarga yang amat terkesan kehidupan mereka kerana PKP.

Pengagihan bakul makanan kepada golongan B40 amat mustahak untuk disegerakan kerana golongan ini amat terkesan dengan PKP, di mana ramai di antara mereka adalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selama ini.

Saya berasa kesal dengan kegagalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau menterinya menjawab pertanyaan saya bahawa nilai bakul makanan yang diserahkan hanya RM35, bukannya RM100. Kegagalan sebegini menimbulkan persoalan adakah udang di sebalik batu?

Saya membidas tindakan pihak kementerian yang dilihat tidak melayan setiap kawasan parlimen secara sama rata kerana kawasan yang diwakili ahli parlimen kerajaan telah lama mengagihkan 1000 bakul makanan tersebut.