Skip to content

Mana pusat perlindungan gelandangan yang dijanjikan tahun lalu?

Saya rasa kita masih ingat isu gelandangan di Kuala Lumpur tahun lalu. Bagaimana lawatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kaki lima Kuala Lumpur menyaksikan mereka yang kurang bernasib baik tidur beralas kotak dan lantai sejuk tanpa dihulur walau sehelai selimut.

Namun Perdana Menteri ada berjanji untuk mewujudkan pusat perlindungan gelandangan di beberapa tempat di ibu kota, selewat-lewatnya menjelang hujung tahun.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib juga pada September tahun lalu, dilaporkan memberitahu media bahawa pihak DBKL telah mengenalpasti beberapa bangunan untuk dijadikan pusat perlindungan. (http://www.sinarharian.com.my/mobile/gelandangan-dbkl-kenal-pasti-tiga-bangunan-1.319025)

Dalam satu mesyuarat antara ahli-ahli parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Datuk Bandar semalam, saya telah bertanyakan status projek pusat-pusat perlindungan ini. Malangnya Datuk Bandar memberitahu bahawa tidak ada satu pun yang dibina disebabkan beberapa alasan, dan beliau kemudiannya tidak memberikan tarikh baru untuk projek ini dijangka siap.

DBKL ini memang terkenal dengan reputasi ‘buat kerja tak habis’. Daripada tandas pecah, ke papan tanda elektronik rosak, dan kini perlindungan asas untuk gelandangan pun tidak boleh dibuat dalam masa yang dijanjikan.

Budaya tidak tepati janji dan gagal menyelenggara dalam DBKL ini mendesak supaya perubahan dilakukan segara sekiranya kerajaan masih bercita-cita untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar bertaraf dunia menjelang tahun 2020.

Oleh itu saya mencadangkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menubuhkan sebuah penubuhan khas (special purpose vehicle), yang mana lembaga jawatan kuasanya dianggotai semua ahli parlimen Kuala Lumpur secara rentas parti bagi menangani isu serius seperti kurangnya rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah, OKU dan warga miskin bandar.

Keperluan perumahan dan pusat perlindungan bagi golongan yang kurang berkemampuan dan kurang upaya merupakan resolusi yang disepakati semua ahli parlimen Kuala Lumpur. Justeru saya percaya bahawa ahli parlimen Kuala Lumpur dari kedua-dua belah pakatan politik akan bekerja keras ke arah merealisasikan resolusi ini.