Saya mengesa kerajaan menunaikan janji dan memulakan projek-projek infrastruktur air yang tertunggak dengan secepat yang mungkin.
Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan perlaburan lebih RM 80 bilion di Amerika Syarikat semasa lawatan rasmi beliau ke Amerika Syarikat.
Bagaimana pun, beliau gagal menerangkan kepada seluruh rakyat Malaysia mengapakah keputusan untuk membuat pelaburan tersebut dibuat? Apakah manfaat yang akan diperolehi rakyat Malaysia daripada pelaburan tersebut? Bagaimanakah rakyat dimanfaatkan daripada pelaburan ini?
Kerajaan sewajarnya memanfaatkan dana yang dibawa ke Amerika Syarikat itu dalam projek-projek dalam negara yang dapat memanfaatkan rakyat.
Saya menarik pertimbangan secara serius daripada kerajaan ialah beberapa projek pembinaan infrastruktur air yang telah lama tertangguh dan memberi kesan buruk terhadap rakyat khasnya waga Kluang.
Antaranya ialah pembinaan Loji Rawatan Air Kahang sejajar dengan pembinaan Empangan Kahang sebagai suatu penyelesaian kepada masalah gangguan bekalan air di sekitar daerah Kluang selama ini. Kos pembinaan LRA Kahang dijangkakan memakan perbelanjaan RM 125 juta adalah jauh lebih rendah berbanding dengan amaun pelaburan yang dibawa ke Amerika Syarikat.
Dalam keadaan di mana pembinaan sesebuah loji rawatan air memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 tahun kerajaan telah mengumumkan projek pemindahan air daripada Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timor bagi menangani masalah ketidaktentuan paras air Sungai Sembrong Kiri yang merupakan masalah gangguan bekalan air di LRA Sembrong Timor. Projek yang dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM15 juta ini telah diumumkan dalam Bajet 2017 namun masih belum dimulakan walaupun tiga suku tahun telah berlalu.
Pelaburan yang diumumkan Najib di Amerika Syarikat jauh daripada mencukupi untuk membina 640 buah Loji Rawatan Air Kahang, namun kerajaan hanya menangguh-nangguh projek-projek infrastruktur yang berkaitan rapat dengan kehidupan harian rakyat seperti ini tetapi membuat pelaburan berpuluh-puluh billion di luar negara.
Daripada pelaburan berpuluh-puluh billion di Amerika Syarikat, nampaknya kerajaan masih mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan projek infrastruktur yang saya sebut di atas ini. Kerajaan digesa menunjukkan kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah yang mengganggu kehidupan harian rakyat dan memulakan pembinaan projek-projek infrastruktur air tersebut supaya rakyat tidak lagi dihantui masalah gangguan bekalan air.