Skip to content

Mana suara Speaker Dewan Rakyat mempertahankan hak Parlimen untuk bersidang?

Selepas pengumuman kebenaran kehadiran penonton ke stadium dan pembukaan bazar, berita pembukaan persidangan Parlimen masih belum kita dengar. Kita semua tertanya-tanya di manakah suara Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya menyuarakan dan mempertahankan hak Parlimen untuk dibuka dan kembali bersidang.

Speaker Dewan Rakyat sepatutnya lebih memahami tujuan dan fungsi Dewan Rakyat sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang. Apabila Ahli-Ahli Parlimen tidak mempunyai ruang untuk membahaskan undang-undang yang mahu diperkenalkan oleh Kerajaan, rakyat yang akhirnya menjadi mangsa dan terpaksa berdepan dengan keputusan Kabinet yang hanya memperkenalkan garis panduan penetapan nilai dan kadar pengurangan selepas arahan mengenakan kompaun RM10,000 telah pun dilaksanakan. Tanpa persidangan Parlimen, penguatkuasaan undang-undang separuh masak seperti ini tidak dapat dibahas dan diperhalusi oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Kemuliaan dan kedaulatan institusi pembuat undang-undang ini wajar dipertahankan oleh Speaker Dewan Rakyat. Oleh itu, saya menggesa agar Speaker Dewan Rakyat kembali mempertahankan kebebasan Parlimen dan hak untuk Ahli-Ahli Parlimen bersidang, berbahas dan menyemak akauntabilti pentadbiran Kerajaan yang kini memberi kesan negatif kepada rakyat.