Skip to content

Mansuhkan SOSMA, kukuhkan Perlembagaan

Apakah kita perlukan undang-undang kuno seperti SOSMA di negara kita? Pejuang-pejuang demokrasi dan hak asasi manusia tetap menentang undang-undang kejam seperti SOSMA. Kerajaan pula mahu undang-undang ini diluluskan untuk menjaga kepentingan politiknya.

SOSMA juga boleh dianggap sebagai satu muslihat kerajaan untuk menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) dengan wajah baru. Pelbagai janji diberikan oleh kerajaan di Parlimen bahawa undang-undang ini tidak akan disalah gunakan.

Kerajaan mendakwa SOSMA dirangka untuk mencegah keganasan dan menangani ancaman kepada keselamatan negara. Kerajaan juga memberi jaminan bahawa SOSMA tidak akan digunakan terhadap pemimpin-pemimpin politik, NGO dan aktivis yang berlainan ideologi.

Tetapi, undang-undang SOSMA. ini amat terdedah kepada penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin-pemimpin yang rakus dan zalim di negara kita. Seksyen 4(3) SOSMA sengaja tidak difahami oleh mereka walaupun niat undang-undang itu amat jelas sekali.

Seksyen 4(3) SOSMA menyatakan “Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”.

Kes penangkapan dan penahanan wirawati Maria Chin di bawah undang-undang SOSMA merupakan contoh yang sangat ketara bahawa kerajaan terdesak menggunakan undang-undang ini terhadap seorang aktivis yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil serta memperkukuhkan demokrasi berparlimen di negara kita.

Kewujudan undang-undang SOSMA adalah satu ancaman kepada sistem demokrasi negara. Undang-undang ini juga tidak sehaluan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang memberi kedaulatan kepada prinsip-prinsip demokrasi seperti hak bersuara dan hak berhimpun.

Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia yang mencintai negara ini harus bangkit menentang undang-undang SOSMA yang kejam. Undang-undang SOSMA perlu dimansuhkan untuk menjamin hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada warganegara Malaysia.