Mantan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak masih menegakkan benang yang basah dengan mempersalahkan kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan menjual aset Bangunan Malaysia di Hong Kong, sungguhpun pentadbiran beliau yang membuat keputusan untuk menjual aset dengan rundingan terus. Beliau enggan menjawab soalan saya sebaliknya menuntut saya perlu membalas tuduhan-tuduhan yang tidak berasas berkaitan isu-isu lain terdahulu. Lebih-lebih lagi apabila pihak berkenaan yang membuat fitnah tersebut ke atas saya adalah seorang yang terkenal sebagai pembohong dan mempunyai banyak masalah peribadi.
Saya telah berulang kali menyatakan bahawa projek terowong bawah dasar laut oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bermasalah kerana ia dibuat secara tender terbuka. Malah, bila Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Nasaruddin Hassan Tantawi mempertikaikan mengapa projek terowong ini tidak dijalankan secara tender terbuka, beliau telahpun menarik balik artikel beliau berkenaan pada tahun 2016, melahirkan perasaan kesal dan diperintah oleh mahkamah untuk membayar saya RM10,000 sebagai penyelesaian saman fitnah saya terhadap beliau.
Sebaliknya penjualan aset Bangunan Malaysia di Hong Kong oleh kerajaan BN tidak dibuat secara tender terbuka tetapi menerusi rundingan terus. Ini jelas merugikan negara Malaysia bila harga rundingan terus yang ditawarkan sebelum 9 Mei 2018 adalah RM1.1 bilion. Apabila kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan ingin menjalankan tender terbuka, tawaran pembelian setinggi RM1.6 bilion diterima.
Kehilangan oleh rakyat Malaysia adalah sekurang-kurangnya RM500 juta di antara rundingan terus ala BN dan sistem tender terbuka Pakatan Harapan, sekiranya kerajaan BN tidak digantikan oleh Pakatan Harapan. Mungkin salahlaku sedemikian adalah budaya baru “Apa Malu Bosku” yang membolehkan Dato’ Seri Najib Tun Razak masuk berbilion-bilion ringgit dalam akaun bank peribadinya tanpa perasaan malu. Saya telah mengajukan soalan penjualan aset di Hong Kong ini di depan beliau di Parlimen, namun beliau terus memilih untuk cuba mengelak dan alihkan perhatian rakyat daripada tindakan Kerajaan terdahulu.
Kini proses tender terbuka secara antarabangsa sedang dijalankan dengan harga rizab RM1.6 bilion untuk menerima bidaan yang mungkin lebih tinggi. Sudah tentu rakyat menanti penjelasan daripada beliau tentang keputusan pentadbiran terdahulu menjual tanah dan bangunan Bangunan Malaysia secara rundingan terus dan bukan tender terbuka.