Kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa percaya bahawa saling menghormati, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat yang pelbagai ini hanya boleh dicapai apabila kita meraikan keunikan dan perbezaan. Walau bagaimanapun, pendekatan terhadap keharmonian sosial dan keamanan telah dicabar secara berterusan oleh pelbagai insiden seperti bom api di sebuah gereja bulan lalu, bom api di balai polis awal bulan ini dan penodaan terbaru di masjid semalam, apabila daging dipercayai daging babi telah dibuang ke dalam kawasan masjid.
Jelas kumpulan perosak yang terlibat dalam penodaan terhadap tempat ibadat ini tidak berputus asa dalam usaha melemahkan dan menggugat kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Walaupun kerajaan negeri akan berpegang teguh kepada mandat yang diberikan oleh rakyat melalui sokongan 68% undi popular dalam pilihan raya umum lalu, terdapat kebimbangan berasas bahawa kumpulan perosak ini tidak akan berhenti sehingga mereka mencapai tujuan mereka.
Laporan tidak berasas berkenaan tiga orang lelaki mengedarkan Bible dalam Bahasa Melayu kepada anak-anak Melayu di luar sebuah sekolah di George Town yang telah disebarkan secara meluas, hanya menambah kepada ketidakpastian dan kekeliruan. Walaupun diterbitkan oleh akhbar, tidak ada laporan polis yang dibuat dan tiada sesiapa melihat kelibat tiga orang lelaki ini, supaya pihak polis boleh mengambil tindakan.
Kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa bekerja rapat dengan pihak polis bagi menangani percubaan mengganggu ketenteraman dan keteraturan awam. Kerajaan negeri Pulau Pinang tetap yakin bahawa polis di Pulau Pinang sentiasa siap-siaga dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memeriksa dan menghentikan elemen-elemen yang merosakkan ini. Walau bagaimanapun, sehingga semua kekacauan ini dapat diselesaikan, penduduk Pulau Pinang harus kekal tenang dan bersatu serta meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa.
Marilah kita bersama melawan anasir perosak yang mendalangi penodaan Masjid Cheruk Tok Kun di Bukit Mertajam dengan meraikan keunikan dan perbezaan kita bagi mengekalkan keharmonian sosial dan keamanan. Perpaduan dalam kepelbagaian akan membawa kepada masyarakat yang lebih berdaya tahan dan identiti yang lebih kukuh, menjadikan George Town sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO yang luar biasa atas keupayaan masyarakat berbilang budaya dan berbilang agama untuk hidup dalam suasana harmoni.