Saya ucapkan kepada semua penganut Kristian di Malaysia Selamat Hari Krismas.
Malaysia adalah sebuah negara yang unik.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:
“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
Rukun Negara pula menyatakan:
“BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
- Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
- Memelihara cara hidup demokratik;
- Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
- Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dengan berbagai-bagai corak, dan
- Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
“MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
- KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
- KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
- KELUHURAN PERLEMBAGAAN
- KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
- KESOPANAN DAN KESUSILAAN”
Cabaran strategik keempat dan kelima Wawasan 2020 untuk mencipta sebuah Bangsa Malaysia dan sebuah Malaysia yang benar-benar maju adalah:
- Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
- Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
Dengan prinsip-prinsip asas ketiga-tiga dokumen ini, Malaysia boleh menjadi contoh tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Kita ada 63.5 peratus populasi negara yang mengamalkan Islam, 18.7 peratus yang Buddha, 9.1 peratus Kristian, 6.1 peratus Hindu, dan 9 peratus lain-lain kumpulan agama.
Inilah objektif yang perlu diusahakan Malaysia kerana kini kerajaan perpaduan Anwar sudah berjaya menjamin kestabilan politiknya untuk tiga ke empat tahun yang akan datang.