Skip to content

Marilah kita semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau politik, menyambut satu Hari Kebangsaan yang sama seperti yang telah diamalkan selama 66 tahun sebelum ini

Saya telah komen pada bulan Ogos tahun lepas yang sambutan Hari Kebangsaan 2022 sangat berbeza dengan sambutan Hari Kebangsaan untuk 2020 dan 2021 – ada harapan dan jangkaan dan bukannya hanya perasaan putus asa.

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 adalah tahun pertama selepas pengkhianatan politik terbesar dalam sejarah negara, di mana konspirasi politik Langkah Sheraton telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dan memendekkan mandatnya dari lima tahun kepada hanya 22 bulan.

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 pula disambut selepas kerajaan Muhyiddin – yang telah menggantung sidang Parlimen secara tidak sah – berakhir dan diganti dengan kerajaan Ismail Sabri.

Dalam kedua-dua tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan berlangsung di sebalik latar belakang wabak Covid-19, dengan Malaysia sebagai salah satu negara terburuk dunia, di mana kedudukan Malaysia dalam carta Indeks Ketahanan Covid Bloomberg jatuh dari tempat ke-16 pada bulan Januari 2021 ke tempat ke-52 menjelang Julai 2021 dan Malaysia jatuh dari tempat ke-85 pada bulan November 2020 ke tempat ke-26 dari segi jumlah kes terbanyak di dunia – dengan hampir lima juta kes Covid-19 dan lebih dari 36,000 kematian akibat Covid-19.

Tetapi, ada harapan pada bulan Ogos 2022, selepas 30 bulan diselubungi awan kelam perasaan putus asa akibat janji reformasi dari Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang dibazirkan, rakyat Malaysia dapat berharap sekali lagi untuk Malaysia diselamatkan dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal dan untuk Malaysia terus bangkit semula memenuhi aspirasinya menjadi sebuah negara hebat dunia dan menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.

Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 dan enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini masih belum memadamkan harapan untuk Malaysia kembali semula kepada prinsip-prinsip asal sebuah Malaysia majmuk yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal yang juga merupakan Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, dan juga Tan Cheng Lock dan V. T. Sambanthan) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara supaya negara kita dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia.

Banyak perkara sekarang bergantung kepada apa yang dapat dicapai oleh kerajaan perpaduan Anwar dalam empat tahun yang akan datang untuk membolehkan Malaysia bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia, kerana inilah semua mata kini tertumpu kepada Sidang Khas Parlimen yang bakal bermula pada 11 September 2023 ini.

Kini, ada pula cadangan luar biasa yang mengatakan rakyat Malaysia patut menyambut Hari Kebangsaan dengan cara berbeza, mengikut fahaman politik.

Cadangan ini tidak patut diikuti, sebaliknya rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau politik, patut menyambut satu sambutan Hari Kebangsaan bersama sebagai rakyat Malaysia, seperti yang telah dilakukan sebelum ini selama 66 tahun.

Janganlah kita pecah belahkan lagi rakyat Malaysia.