Mas Ermieyati Samsudin telah melemahkan kesesuaiannya untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan solusi yang ideal adalah untuk Wong Shu Qi mengetuai siasatan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan 2022 dan Mas Ermieyati mengetuai siasatan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2023.
Mas Ermieyati tidak sepatutnya memboikot perbahasan parlimen untuk Laporan Ketua Audit Negara 2021 memandangkan perkara ini telah menunjukkan yang dia tidak ada kebebasan, sebaliknya terpaksa akur dengan arahan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk memboikot perbahasan ini dan bukannya untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Pengerusi PAC yang bebas.
Sekiranya Ahli-ahli Parlimen PN ada melakukan semakan di internet, mereka akan mendapati yang perbahasan Laporan Ketua Audit Negara bukanlah suatu perkara yang luar biasa di parlimen-parlimen lain di seluruh dunia, dan sebab mengapa LKAN ini dirujuk terus ke PAC di Malaysia adalah kerana biasanya kerajaan-yang-sedang-memerintah tidak bersedia untuk memberikan masa untuk perbahasan LKAN sebelum merujuknya ke PAC untuk penyiasatan yang lebih mendalam.
Seperti yang saya telah katakan dua hari lepas:
“Dalam setengah abad kerjaya saya berada di Parlimen, saya akan amat gembira sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengadakan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.
“Namun, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) telah menjunamkan Parlimen ke dalam kekecohan selama lebih dari satu jam dengan tentangan mereka terhadap usul untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan kemudiannya lebih buruk lagi, memboikot perbahasan yang berlangsung.”
Penyelesaian yang ideal terhadap kegagalan Mas Ermieyati untuk menunjukkan kebebasannya sebagai Pengerusi PAC adalah untuk Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PAC mengetuai siasatan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan 2022 dan untuk Mas Ermieyati pula mengetuai siasatan terhadap LKAN 2023.
Perkara ini akan dapat mengelakkan kedudukan yang tidak sepatutnya di mana Mas Ermieyati mengetuai siasatan akaun kerajaan 2021 dan 2022 ketika mana kerajaan dibentuk oleh Perikatan Nasional dan juga kedudukan yang tidak sepatutnya di mana Wong Shu Qi mengetuai siasatan terhadap akaun kerajaan untuk 2023 di mana Kerajaan Perpaduan Anwar sedang mentadbir negara.
Adalah lebih baik sekiranya Mas Ermieyati sendiri yang mencadangkan pertukaran Pengerusi PAC untuk menyiasat tiga tahun akaun-akaun kerajaan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tahun 2021, 2022, dan 2023 ini.