Skip to content

Masanya sudah tiba untuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dibuka untuk semua aliran sekolah

Sekolah Berasrama Penuh, yang merangkumi pendidikan menengah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 telah wujud di Malaysia sejak tahun 80-an dan konsep ini dilaksanakan buat kali pertama untuk meningkatkan kesaksamaan dalam sistem pendidikan dengan menyediakan persekitaran persekolahan yang stabil dan kondusif bagi pelajar-pelajar luar bandar.

Kini, selepas lebih 30 tahun sejak penubuhan SBP di negara ini, bilangan pelajar yang sedang belajar di SBP adalah lebih kurang 55,000 orang (11,000 orang setahun) di 69 buah sekolah, termasuk 5 buah sekolah di Sabah dan Sarawak. Dengan sejumlah pelajar ini, dianggarkan purata pelajar bagi setiap sekolah ialah seramai 800 orang. Ini menunjukkan kejayaan sistem Sekolah Berasrama Penuh yang ditadbir sepenuhnya oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Oleh itu, sejajar dengan pendidikan inklusif dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan mengutamakan prinsip akses pendidikan untuk semua, adalah penting dan relevan untuk mengkaji semula polisi yang tidak membenarkan pelajar-pelajar dari Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Vernakular, terutamanya daripada kumpulan B40 untuk membuat permohonan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh. Perkara ini boleh dipersoalkan kerana sekolah-sekolah ini juga di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dasar yang diamalkan sekarang ini bercanggah dengan pendidikan inklusif kerana ia mendiskriminasikan ribuan pelajar dari pelbagai kaum yang belajar di sekolah vernakular untuk memohon ke Sekolah Berasrama Penuh. Jika diperhatikan dengan teliti, sistem pendidikan kini merangkumi lebih daripada 1,300 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), lebih daripada 500 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan lebih kurang 130 Sekolah Rendah Agama di seluruh negara. Dasar ini secara langsung menutup peluang pendidikan yang dibiayai oleh kerajaan kepada warganegara Malaysia hanya kerana mereka memilih untuk belajar di aliran sekolah yang berbeza, walaupun sekolah-sekolah ini adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Di samping itu, terdapat ribuan pelajar bumiputera yang belajar di sekolah-sekolah vernakular dan sekolah agama yang berasal daripada pelbagai etnik terutamanya pelajar Melayu Islam.

Dasar ini juga secara langsung berbau hipokrit kerana Kementerian Pendidikan Malaysia banyak menghabiskan masa, sumber kewangan serta tenaga untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah tetapi mengamalkan sikap diskriminasi dalam kalangan pelajar-pelajar dari sekolah vernakular dan sekolah agama untuk mendaftar di SBP. Ini tidak adil dan bertentangan dengan hasrat kementerian dan kerajaan dalam memupuk perpaduan. Perpaduan dan pengiktirafan kepelbagaian kaum yang seimbang perlu menjadi tonggak dalam perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan terutamanya dalam sektor pendidikan.

Tambahan pula, tidaklah wajar untuk mengekalkan dasar ini sedangkan semua pelajar diwajibkan mengambil peperiksaan kemasukan yang seragam iaitu Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) sebelum pelajar-pelajar layak untuk mendaftar di SBP.

Pihak kami merayu kepada Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjunjung prinsip perpaduan dan kesamarataan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Malaysia melalui konsep “Keluarga Malaysia” dan menjaga kepentingan semua pihak terutamanya dalam sektor pendidikan. Perubahan polisi ini adalah penting supaya sistem pendidikan tidak mengabaikan anak-anak Malaysia yang akan memartabatkan masa depan negara.