Satu lagi berita mengejutkan bagi rakyat negeri Kedah apabila Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor telah menandatangani MoU bersama Jangka Bakat Sdn. Bhd, sebuah syarikat yang tidak begitu dikenali dari Kelantan dan sebuah syarikat yang berpengkalan di China, Xiamen Tungsten Co. Ltd pada 10 Januari 2023.
Mana tidaknya sebelum ini isu pencerobohan galian Nadir Bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik masih belum menemui siapa dalang disebalik perlombongan haram tersebut walaupun hasil serbuan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menahan warga asing dan disyaki syarikat yang melakukan aktiviti haram ini adalah dari China.
Menteri Besar Kedah sepatutnya mencari dalang pencerobohan haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik namun dia telah melakukan suatu tindakan luar tabii yang mana telah menandatangani memorandum persefahaman bersama sebuah syarikat dari China untuk melombong Nadir Bumi di tanah-tanah negeri Kedah ini.
Tindakan yang Menteri Besar cuba lakukan ini seolah-olah cuba melindungi sesuatu daripada rakyat negeri Kedah kerana sepatutnya bagi apa-apa projek berskala besar Kerajaan Negeri seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Sanusi bahawa terokaan ini membawa pulangan hampir RM60 bilion untuk negeri Kedah namun tiada proses tender terbuka dan pameran umum dilakukan.
Melantik syarikat bagi melakukan sebuah projek mega Kerajaan Negeri yang mana galian ini bukan sahaja berisiko kepada alam sekitar namun memberi kesan yang teruk sekiranya berlaku apa-apa kebocoran, pengaliran ke dalam sungai yang dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada pertanian sawah dan lebih teruk lagi nyawa rakyat negeri Kedah akan terancam.
Mengapa Sanusi seolah-olah tergesa-gesa untuk melaksanakan MoU ini walaupun SOP dari Kementerian Sumber Asli masih belum diterima. Kerja-kerja perlombongan untuk galian hasil bumi sepatutnya harus melalui proses yang begitu teliti. Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA), Traffic Impact Assessment (TIA) adalah perkara asas yang harus dikemukakan terlebih dahulu sebelum apa-apa kerja galian dilaksanakan dan sebenarnya proses kajian ini akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum kelulusan permit perlombongan diberikan.
Saya khuatir, Menteri Besar tidak begitu faham proses ini dan kesannya bakal ditanggung oleh kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri Kedah di masa hadapan. Memang tidak dinafikan seronok untuk mengumumkan bahawa Sanusi selaku Menteri Besar berjaya membawa masuk pelaburan yang mencecah bilion ringgit dalam negeri ini namun jangan hanya indah khabar dari rupa. Hakikat yang sebenar, pelaburan ini hanya akan menguntungkan syarikat dari China bukannya rakyat Kedah.
Diharap Menteri Besar Sanusi boleh memberikan perincian tentang projek ini kepada semua rakyat negeri Kedah tanpa berselindung dengan apa-apa cubaan menyelamat mana-mana pihak.