Skip to content

MCA ditelanjangkan, jelas hipokrit dan pembohong kononnya akan menentang rang undang-undang hudud hingga ke peringkat tertinggi; apabila Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa Kabinet langsung tidak membincangkan RUU Hudud dalam mesyuaratnya minggu lalu

MCA ditelanjangkan, jelas hipokrit dan pembohong kononnya akan menentang rang undang-undang hudud hingga ke peringkat tertinggi; apabila Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa Kabinet langsung tidak membincangkan RUU Hudud dalam mesyuaratnya minggu lalu. Jelas sekali MCA sedang bermain taktik lapuk dengan mengatakan sesuatu yang lain kepada komuniti bukan-Islam di luar, tetapi melakukan sesuatu yang langsung bertentangan di dalam Kabinet.

Ini mengingatkan kita kepada pengkhianatan Presiden MCA Liow Tiong Lai terhadap ikrarnya untuk memperjuangkan keadilan, dengan menuntut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon maaf kepada masyarakat Cina atas pembohongan Ismail bahawa orang Cina menindas orang Melayu dan kononnya peniaga Cina patut dipersalahkan kerana tidak menurunkan harga barang. Apabila Ismail Sabri tidak memohon maaf atas kenyataannya, Liow Tiong Lai terus menyerah kalah.

Begitu juga dalam hal hudud, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum menyatakan pendirian rasmi BN walaupun telah mengadakan mesyuarat bersama pimpinan BN pada 19 Mac, iaitu pada hari yang sama pindaan terhadap enakmen hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. Liow Tiong Lai mendakwa Najib akan mengeluarkan kenyataan keesokan harinya, dan memberi isyarat bahawa Najib akan mengulangi pendirian BN dan Umno menentang hudud.

Pun begitu, sehingga hari ini Najib masih gagal berbuat demikian, lantas mengundang spekulasi bahawa Liow Tiong Lai sekali lagi telah memperdaya orang ramai. Untuk menutup kegagalan ini, Liow cuba mengalihkan perhatian dengan menyalahkan DAP sebagai pihak yang bertanggungjawab walaupun DAP telah mengambil tindakan. Tiadanya tindakan di pihak MCA dan Liow berbeza dengan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang kerana telah mengemukakan RUU hudud ke Parlimen, tanpa terlebih dahulu berbincang dengan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sepertimana yang telah beliau janjikan.

Adakah Liow ataupun MCA berani memutuskan semua hubungan dengan Najib demi membantah tindakan Adun Umno Kelantan yang telah menyokong RUU hudud PAS di DUN Kelantan? Kegagalan Najib untuk menyatakan pendirian BN dan Umno mengenai RUU hudud memperlihatkan bukan sahaja beliau tidak mampu membuat keputusan tetapi juga sikap tidak bertanggungjawab bermain politik dengan suatu perkara penting yang menjadi asas Perlembagaan negara.

Pengamal media di Malaysia telah membuktikan bahawa mereka tidak akan gentar bahkan terus melawan segala kendala terhadap kebebasan media oleh BN dan juga salahguna kuasa oleh Ketua Polis Negara (KPN) yang cuba memburu, mengganggu dan memalukan penerbit serta editor kanan The Malaysian Insider (TMI).

Pengamal media di Malaysia telah membuktikan bahawa mereka tidak akan gentar bahkan terus melawan segala kendala terhadap kebebasan media oleh BN dan juga salahguna kuasa oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar yang cuba memburu, mengganggu dan memalukan penerbit serta editor kanan The Malaysian Insider (TMI). Vigil yang berlangsung semalam dengan penuh semangat oleh wartawan muda di luar balai polis Dang Wangi adalah tindakan spontan oleh lingkungan media bagi menunjukkan bahawa mereka tidak takut akan kuasa-kuasa menindas yang mahu menghadkan kebebasan media melalui tindakan penahanan secara sewenang-wenang.

DAP memuji usaha para peguam yang telah berjaya memastikan bebasnya editor pengurusan TMI Lionel Morais, pengarang berita Bahasa Malaysia Amin Iskandar dan juga pengarang rencana dan analisa Zulkifli Sulong, dengan memujuk majistret untuk menolak permohonan reman pihak polis. Malangnya Ketua Pegawai Eksekutif TMI Jahabar Sadiq dan penerbit The Edge Ho Kay Tat terus ditahan semalam menanti pendengaran permohonan reman mereka.

Rasa marah yang begitu hebat terhadap penangkapan eksekutif kanan TMI, bukan sahaja daripada badan-badan antarabangsa tetapi juga rakyat Malaysia, sangat menyentuh perasaan. Sebarang kesilapan harus diambil kira, tetapi hukuman yang diberikan harus juga setimpal dengan kesalahan. Bagi para wartawan, penarik-balikan dan permintaan maaf serta hukuman denda daripada saman fitnah sewajarnya mencukupi. Ini amalan lazim di peringkat antarabangsa, sebarang hukuman yang lebih berat seperti tangkapan oleh pihak polis, adalah percubaan untuk membantutkan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

KPN akan menyesali sifat sombong dan penghinaannya terhadap pertimbangan akal, keadilan dan tindakan yang benar. Sikap bangga diri ini bukan sahaja akan mengakibatkan kejatuhannya tetapi juga Barisan Nasional. Setelah marah dengan skandal kewangan seperti skandal RM42 bilion 1MDB dan kesusahan akibat pelaksanaan GST hari ini, orang ramai akan dapat melihat taktik kotor BN untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan urustadbir BN dan kegagalan dasar ekonomi.
DAP menyanjung 5 pegawai kanan TMI itu sebagai wira kebebasan akhbar yang mahu membawa pencerahan kepada Malaysia; seperti kata Plato, “Kita boleh maafkan anak kecil yang takutkan kegelapan, namun tragedi sebenar kehidupan ialah apabila si dewasa takutkan cahaya.”