Skip to content

MCA seharusnya menyokong dan mengambil bahagian dalam perhimpunan aman

Perhimpunan aman ternyata telah menjadi budaya kita rakyat Malaysia; dan DAP pastinya tidak mempunyai sebarang masalah jika ia menjadi sasaran perhimpunan aman seperti yang telah dilakukan oleh segerombolan Pemuda MCA di perkarangan Ibu Pejabat Kebangsaan DAP pagi semalam.

Selepas ini MCA tidak perlu lagi mengutuk sebarang perhimpunan aman di Malaysia, malah seharusnya menyokong mereka yang berhimpun secara aman serta mengambil bahagian dalam perhimpunan-perhimpunan rakyat pada masa akan datang.

Tetapi apa yang menghairankan ialah sekurang-kurangnya dua motorsikal polis berkuasa tinggi dilihat mengiringi konvoi kereta mewah Pemuda MCA pagi semalam.

Ini bagi saya wajar dikutuk. Apa kerja polis bersubahat dengan MCA dan mengiringi mereka untuk berdemonstrasi terhadap parti pembangkang? Kenapa pula pihak polis tidak menyediakan khidmat pengiring untuk perhimpunan-perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih serta perhimpunan KitaLawan baru-baru ini yang ternyata berakhir secara aman tanpa provokasi pihak polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar seharusnya mengingatkan anggotanya agar tidak menjadi budak suruhan MCA kerana yang membayar gaji mereka adalah rakyat, dan bukan MCA.

Akhir sekali saya ingin mencabar Pemuda MCA untuk mementaskan wayang yang sama seperti yang telah mereka lakukan di pejabat DAP, di hadapan Ibu Pejabat Umno dalam masa 24 jam, kerana ternyata kesemua Adun Umno di Kelantan telah menyokong Enakmen Jenayah Syariah Kerajaan Negeri PAS Kelantan.

Sekiranya gagal, maka terbuktilah bahawa mereka sekadar bacul yang hanya mampu menjadi tukang lawak bagi menghiburkan hati gembala mereka di dalam Umno.