MCA, MIC dan Gerakan memalukan komuniti mereka sendiri apabila secara membuta tuli menyokong dan bekerjasama dengan UMNO Selangor yang menyebarkan kebencian perkauman terhadap bukan Melayu dan meremehkan hak beragama bukan Islam. Walaupun Selangor UMNO telah menarik ancaman mereka untuk mengadakan demonstrasi di luar gereja Katolik semasa upacara keagamaan pada hari Ahad, Pengerusi UMNO Selangor telah mengancam mengadakan demonstrasi besar-besaran oleh kumpulan-kumpulan Melayu yang sealiran dengan UMNO.
Buat pertama kalinya, akan ada demonstrasi di luar gereja pada hari Ahad apabila acara keagamaan dijalankan. Ini sekaligus membuktikan UMNO dengan sengaja meningkatkan ketegangan antara berlainan agama dan merupakan percubaan yang jelas untuk mengalihkan perhatian dari masalah kehidupan yang dihadapi oleh rakyat yang disebabkan oleh kenaikan harga yang dilaksanakan oleh BN terhadap gula, petrol, elektrik dan tol lebuh raya menyebabkan wujudnya rantaian tindak balas kenaikan harga untuk perkhidmatan utama yang lain . DAP mengecam tindakan UMNO yang bermain dengan api perkauman dan begitu juga dengan parti-parti komponennya, MCA, MIC dan Gerakan yang merelakan perbuatan itu dengan terus menyokong UMNO.
UMNO mesti disedarkan bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak berbangga dengan mereka yang bermain api kebencian agama dalam isu kalimah “Allah” bagi melagakan orang Islam dan bukan Islam, orang Melayu terhadap bukan Melayu. Dalam pilihan raya umum lalu majoriti rakyat Malaysia termasuk orang Melayu dan orang Islam, mengalahkan BN dari segi undi popular untuk kali pertama dengan memberikan PR majoriti 51% sokongan.
Adalah suatu yang menggembirakan untuk melihat peningkatan jumlah orang Melayu dan umat Islam yang tidak bersetuju dengan serbuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan memalukan pada 2 Januari lalu oleh polis agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atasBible Society of Malaysia (BSM) dan merampas 300 salinan Bible dalam bahasa Malaysia dan 10 lagi salinan Bible dalam bahasa Iban serta dalam masa yang sama menahan dua pemimpin BSM.
Di manakah jaminan fundemental perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dan semangat 1Malaysia Perdana Menteri apabila pihak berkuasa agama Islam boleh mendakwa dan bertindak terhadap orang bukan Islam? Lebih buruk lagi rakyat Malaysia merasa dikhianati apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin bukannya bertindak sebagai pendamai tetapi sebaliknya memilih untuk mencurahkan minyak ke dalam api dengan menghalalkan hak kumpulan Islam untuk berdemonstrasi di luar gereja pada hari Ahad.
Sementara BN ingin memisah dan memecah-belahkan perpaduan rakyat, rakyat Malaysia mahu menangani masalah negara ini dengan semangat sejarah bersama dan juga hak sebagai rakyat Malaysia. DAP yakin bahawa rakyat Malaysia akan memilih keharmonian agama dan saling menghormati serta perpaduan kaum dan kewujudan bersama dan menolak demonstrasi keji, diskriminasi dan dikotomi tajaan BN.