Skip to content

MCA patut serah dua kerusi majoriti Melayu kepada UMNO dan bubar untuk sertai DAP

Merujuk kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan UMNO dibubarkan dan diserap ke dalam BERSATU, saya ingin nyatakan bahawa cadangan itu sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA.

Hari ini, MCA hanya tinggal dua kerusi Parlimen dan kedua-duanya terletak di kawasan majoriti pengundi Melayu. Hakikatnya, MCA hanya menang kerana undi daripada penyokong UMNO. MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina. Jadi saya menyeru MCA supaya serahkan kembali dua kerusi tersebut kepada UMNO, dan ambil langkah berani untuk bubar parti serta menyertai DAP, demi masa depan negara dan perjuangan nilai kemajmukan, keadilan dan kemajuan.

Saya lihat MCA telah lama berdiam diri dalam isu dasar dan kaum. Mereka gagal memainkan peranan semak dan imbang dalam kerajaan dan lebih kerap berdiam diri apabila berdepan dengan kenyataan ekstrem. Kini mereka menuduh DAP sebagai kabur pendirian, walhal itu hanya helah untuk menutup kelemahan sendiri yang semakin terpinggir.

MCA bukan sahaja gagal bersuara dalam kerajaan, malah tidak kelihatan dalam kawasan. Dalam tiga pilihan raya umum yang lalu, mereka kalah teruk. Malah, ahli mereka sendiri pun sudah tidak menyokong parti. Ini jelas menunjukkan rakyat telah menolak MCA.

Apa yang lebih memalukan, MCA masih menyerang DAP, tetapi terus bergantung pada undi UMNO untuk kekal hidup. Tiada prinsip, tiada maruah. Kalau dua kerusi itu pun hasil sokongan pengundi UMNO, maka kembalikanlah kepada UMNO sebagai tanda hormat terhadap rakan gabungan.

Sebagai wakil rakyat DAP dalam kerajaan perpaduan, saya dan rakan-rakan lain terus memperjuangkan reformasi, ketelusan dan dasar yang adil untuk semua kaum. MCA tidak harus terus hidup dalam rangka lama yang gagal. Lebih baik mereka gabungkan tenaga dan pengalaman ke dalam parti yang benar-benar membawa perubahan.

Kalau MCA benar-benar masih ada tanggungjawab kepada rakyat, keputusan paling wajar yang mereka boleh buat ialah bubarkan parti dan sertai DAP. Bukan terus menyerang, bukan terus menipu diri.

Bagi saya, politik bukan soal nostalgia atau sentimen, tapi soal keberanian untuk buat keputusan berdasarkan realiti. Dan saya sentiasa mengalu-alukan sesiapa saja yang berkongsi nilai-nilai demokrasi majmuk untuk bersama kami membina Malaysia yang lebih adil dan bersatu.