Skip to content

MCA Pulau Pinang tidak perlulah merangka cerita dongeng terlebih dahulu bagi mengelirukan sendiri dan orang awam terhadap cadangan pembangunan terowong dasar laut, sebelum sebarang keputusan yang muktamad telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Merujuk kepada kenyataan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng yang sekali lagi cuba mengelirukan fakta berhubung dengan Kajian Kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut dengan menggunakan bayangan bahawasanya pembangunan tersebut akan ditukar menjadi jambatan, saya ingin mengesa beliau supaya hentikan penipuan yang berunsurkan politik ini dengan sekali lagi menggunakan cerita yang direka semata-matanya.

Tomahan yang dilakukan oleh MCA Pulau Pinang adalah kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melakukan pembayaran ke atas cadangan pembangunan terowong dasar laut tersebut dan kononnya juga pembangunan tersebut telah ditukarkan menjadi pembangunan jambatan adalah tidak benar sama sekali.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerangkan secara berkali-kali bahawasanya sebarang pembayaran hanya akan dibuat apabila Kajian Kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut telah dimuktamadkan. Tiada sebarang bukti atau indikasi bahawasanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melakukan sebarang pembayaran, sama ada dalam bentuk kewangan atau tanah telah dibuat untuk cadangan pembangunan terowong dasar laut dan pembohongan oleh MCA Pulau Pinang berhubung perkara ini haruslah dihentikan.

Selain daripada itu, seperti mana yang telah diterangkan oleh YB Zairil Khir Johari, Pengerusi MMK Infrastruktur dan Pengangkutan pada Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Terowong Dasar Laut tersebut telah disiapkan namun ia masih belum dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandangkan ulasan-ulasan agensi yang berkenaan, termasuk ulasan daripada agensi Kerajaan Persekutuan perlu diperolehi sebelum kajian kebolehlaksanaan tersebut dapat dibentangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Saya berasa agak sukar untuk memahami logik yang telah diutarakan oleh MCA Pulau Pinang di mana sebuah keputusan cadangan pembangunan yang masih belum dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri boleh ditafsirkan sebagai “pembayaran telah dibuat dan pertukaran pembangunan telah dibuat dari terowong dasar laut kepada jambatan”. Sesebuah cerita dongeng tidak akan menjadi fakta hanya kerana ia datang dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin dan parti MCA.

Akhir sekali, keseluruhan proses cadangan pembangunan infrastuktur tersebut kini berada dalam proses kajian kebolehlaksanaan. Kajian kebolehlaksanaan tersebut akan mengandungi fakta-fakta teknikal dan kewangan yang berkenaan supaya Kerajaan Negeri dapat menimbang dan membuat keputusan ke atas keseluruhan cadangan pembangunan infrastruktur tersebut dan sebarang keputusan muktamad hanya akan dilakukan selepas kajian tersebut dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Saya percaya penilaian secara teliti akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan mengambil kira faktor-faktor penting seperti manfaat dan faedah kepada orang awam khususnya penduduk Pulau Pinang, keperluan teknikal dan kewangan yang berkenaan sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.

Sehubungan dengan itu, MCA Pulau Pinang tidak perlulah merangka cerita dongeng terlebih dahulu bagi mengelirukan sendiri dan orang awam terhadap cadangan pembangunan terowong dasar laut tersebut, sebelum sebarang keputusan yang muktamad telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.