Skip to content

Melonggarkan sekatan bagi mereka yang telah divaksinasi penuh terhadap COVID-19 untuk membantu kegiatan ekonomi tidak akan berhasil tanpa suntikan dana tambahan RM45 bilion, dan umpama meminta orang yang patah kaki bergerak tanpa kerusi roda

8 Ogos 2021 mengejutkan kita dengan rasa ngeri dan duka dengan mengingatkan kita tentang harga yang sangat besar yang ditanggung oleh rakyat Malaysia dalam pertempuran melawan COVID-19 ini dengan angka kematian harian COVID-19 tertinggi yang direkodkan pada 360 kematian. DAP mengucapkan takziah kepada keluarga yang berduka bagi jumlah keseluruhan 10,749 kematian setakat ini.

Dengan rekod tertinggi kematian harian 360 semalam, jumlah kes di ICU dan memerlukan bantuan alat pernafasan sepatutnya menurun dengan ketara. Yang mengerikan adalah bahawa jumlah kes ICU hampir tidak berubah pada 1,095 dan mereka yang memerlukan intubasi daripada ventilator pada angka 571 pada 8 Ogos berbanding 1,097 dan 575 masing-masing pada 7 Ogos. Statistik yang membimbangkan ini menunjukkan bahawa masih belum ada cahaya di hujung terowong.

Masih banyak aduan orang ramai mengenai ketiadaan dan tidak ada akses katil ICU sama ada di hospital awam atau swasta, terutama di Lembah Klang. Adakah kerajaan melakukan sesuatu mengenai perkara ini? Tidak ada sifat bertanggungjawab dalam kerajaan yang gagal ini apabila tidak ada seorang pun pemimpin yang meletakkan jawatan atau mempunyai pelan yang konkrit untuk mengatasi rekod tertinggi kematian dan jangkitan yang mencecah jumlah keseluruhan 1,262,540 pada 8 Ogos.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak memberi reaksi bagaimana kerajaan akan bertindak balas terhadap 360 kematian harian tetapi telah mengumumkan satu siri pelonggaran sekatan bagi individu yang telah divaksinasi penuh. Pelonggaran sekatan itu bertujuan untuk membantu aktiviti ekonomi negara tetapi tidak akan berhasil tanpa suntikan dana tambahan sebanyak RM45 bilion yang sangat diperlukan. Ini tidak berbeza dengan meminta orang yang patah kaki bergerak tanpa kerusi roda.

Pelonggaran sekatan juga sepatutnya disertai dengan langkah-langkah pencegahan yang ketat, terutama ujian saringan massa untuk menguji semua kontak rapat kes positif COVID-19. Suntikan dana tambahan bernilai RM45 bilion yang dicadangkan juga merangkumi RM4 bilion untuk sistem sokongan kesihatan, lebih banyak katil ICU, meningkatkan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dan pelaksanaan skala besar FTTIS+V, iaitu Cari, Uji, Jejak, Kuarantin dan Sokong ditambah Vaksinasi.

Kadar positif meningkat sehingga setinggi 13.1% untuk minggu 1-6 Ogos, hampir tiga kali ganda tahap yang dicadangkan pada 5% oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini menunjukkan bahawa ujian saringan tidak mencukupi dan bahawa usaha ujian saringan massa perlu diperluas kepada sekurang-kurangnya 1% populasi atau 320,000 ujian setiap hari. WHO mengesyorkan FTTIS + V sebagai langkah pencegahan terhadap wabak besar di masa depan. Imuniti kelompok perlu dicapai hanya melalui suntikan vaksin, bukan melalui jangkitan dan suntikan vaksin.

Bantuan kegiatan ekonomi tidak boleh dilaksanakan secara terpisah atau dalam silo dengan hanya bergantung kepada pelonggaran sekatan bagi mereka yang telah divaksinasi penuh. Perlu ada usaha keseluruhan masyarakat yang memerlukan bantuan kewangan keseluruhan kerajaan. Salah satu sebab utama kegagalan 8 pakej rangsangan Kerajaan PN berjumlah RM530 bilion untuk mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi, adalah kerana bantuan tunai langsung terlalu rendah pada RM83 bilion jika dibandingkan dengan kerugian ekonomi lebih daripada RM500 bilion.

Atas sebab ini, kerajaan perlu mengambil langkah berani untuk memansuhkan faedah moratorium automatik 6 bulan pinjaman bank untuk semua peminjam (kecuali Kumpulan 10 Teratas). Bantuan kebajikan masyarakat perlu dinaikkan menjadi RM1,000 setiap bulan, termasuk kepada penganggur yang akan menelan belanja RM1 bilion sebulan. RM6 bilion perlu diperuntukkan untuk menawarkan insentif upah dan pengambilan pekerja bagi mewujudkan 300,000 pekerjaan baru untuk mengurangkan kadar pengangguran. Perniagaan perlu diberi RM30 bilion dalam bentuk geran, insentif kewangan dan subsidi upah, sewa serta utiliti dan bukannya pinjaman dan jaminan, demi menyelamatkan pekerjaan dan melambatkan penutupan perniagaan.

Mahiaddin Md Yassin perlu mengambil peluang untuk melakukan sesuatu yang konstruktif kepada rakyat walaupun dia sudah tidak memiliki keabsahan untuk kekal sebagai Perdana Menteri berikutan kehilangan majoriti parlimennya. Menyuntik tambahan RM45 bilion untuk rakyat akan memberinya dividen politik yang lebih baik daripada cubaan “membeli” sokongan daripada setiap Ahli Parlimen dengan jawatan atau kedudukan.