Skip to content

Membenarkan penggunaan ganja, rami dan ketum di Malaysia untuk tujuan perubatan sudah semestinya akan mentransformasikan dan memajukan bidang perubatan negara, terutama sekali dalam merawat penyakit seperti kanser

Membenarkan penggunaan ganja, rami dan ketum di Malaysia untuk tujuan perubatan sudah semestinya akan mentransformasikan dan memajukan bidang perubatan negara, terutama sekali dalam merawat penyakit seperti kanser.

Saya menyokong penuh hasrat agar bahan-bahan seperti ketiga yang tersebut ini digunakan untuk tujuan perubatan moden. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, telah mengumumkan bahawa beliau akan menghantarkan laporan kajian penggunaan tumbuhan-tumbuhan ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri untuk kelulusan dan proses selanjutnya. Tambahan pula, laporan yang disediakan dan yang akan dihantar kepada kementerian yang terlibat adalah kajian yang dijalan oleh pelbagai persatuan dan badan berkenaan, termasuklah Pusat Racun Negara.

Jika kita lihat landskap perubatan di peringkat antarabangsa juga, kebanyakan negara-negara di seluruh dunia sudahpun membenarkan penggunaan ganja dan rami untuk tujuan perubatan, selain daripada untuk tujuan rekreasi. Di United Kingdom misalnya, sudah banyak laporan mengunjurkan bahawa ganja jenis THC dan CBD dibuktikan berkesan melambatkan ketumbuhan sel kanser dan perubatan berasaskan ganja juga sudah diguna pakai untuk merawat penyakit-penyakit lain seperti autisme, kemurungan, epilepsi, dan penyakit saraf kronik di negara seperti Canada dan Uruguay.

Dalam pada itu, Prohibition Partners telah mensasarkan bahawa industri ganja bagi tujuan perubatan bernilai 5.8 billion dolar AS. Sekiranya pihak kerajaan komited dalam melonjakkan ekonomi negara, polisi dan undang-undang terperinci bagi penggunaan ganja perlu diwujudkan. Tidak disangkal lagi negara kita sendiri mampu menjadi tersohor dengan wujudnya industri ganja perubatan tersendiri, bersaing bersama negara jiran, Thailand yang sudahpun meluluskan ganja perubatan pada awal tahun ini. Negara-negara Asia lain seperti Korea dan Jepun sudahpun memberikan meluluskan undang-undang untuk menggunakan ganja bagi tujuan perubatan. Di samping itu, penggunaan ketum juga sudahpun sebati dan tidak asing lagi di dalam perubatan tradisional dan telah digunakan secara turun temurun bagi merawat penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Industri perubatan perlu maju seiring dengan kemajuan global dan langkah tersebut dapat kita mulakan dengan meluluskan penggunaan ganja, rami, ketum dan dadah sebagainya bagi tujuan perubatan.