Skip to content

Membidas Dato’ Sri Tiong King Sing yang menggunakan peluang perbahasan di Dewan Rakyat untuk menghina Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Saya membidas kenyataan yang dilakukan oleh ahli parlimen Bintulu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato’ Sri Tiong King Sing yang menggunakan peluang perbahasan di Dewan Rakyat untuk menghina Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Beliau menyifatkan bahawa Tan Sri Dr. Noor Hisham sebagai seorang individu yang “takut mati” dan disebabkan oleh perkara itu, Tan Sri Dr Noor Hisham tidak turun padang ke Sabah. Perbuatan ini secara tidak langsung merupakan satu bentuk penghinaan ditujukan bukan sahaja kepada Tan Sri Dr Noor Hisham, malah terhadap semua anggota barisan hadapan termasuklah anggota perubatan, tentera, polis dan pertubuhan-pertubuhan amal lain di Malaysia.

Sesiapa yang mendengar isi dan nada perbahasan Dato’ Sri Tiong King Sing di Parlimen akan bersetuju bahawa beliau mempunyai niat jahat terhadap Tan Sri Dr. Noor Hisham.

Selain itu, Tan Sri Dr Noor Hisham telah pun memberikan penjelasan mengenai perkara ini pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa beliau telah pergi ke Sabah pada akhir bulan Ogos yang lalu untuk melakukan pemeriksaan terhadap persiapan untuk pilihan raya negeri Sabah. Timbalan Pengarah dan Penasihat Khas Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood turut sama turun padang untuk memantau keadaan kawalan epidemiologi tempatan di Sabah. Oleh yang demikian, Dato’ Sri Tiong King Sing perlu meminta maaf atas tohmahan tidak berasas yang telah beliau lemparkan kepada Tan Sri Dr Noor Hisham dan timbalan pengarah beliau berkaitan perkara tersebut.

Sebagai seorang duta khas kerajaan yang bertaraf Menteri, tindakan membuat tuduhan tanpa usul periksa yang dilakukan oleh Dato’ Sri Tiong King Sing ini telah menunjukkan sikapnya yang tidak professional.

Jika Dato Sri’ Tiong King Sing mahu membuat tuduhan sedemikian, beliau perlu meminta Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan yang berkuasa untuk menggerakkan sumber daya untuk turun padang ke Sabah; sebaliknya, selaku seorang anggota parlimen Sarawak, beliau seharusnya memberikan cadangan kepada Menteri Kesihatan mengenai strategi pencegahan wabak di negeri perwakilannya sendiri.

Dato’ Sri Tiong King Sing juga telah memetik ujian komprehensif yang telah dilakukan oleh lebih daripada sepuluh juta penduduk di Qingdao, China sebagai rujukan untuk menyalahkan Tan Sri Dr Noor Hisham. Namun begitu, rujukan yang dilakukan oleh beliau adalah kurang wajar kerana Malaysia tidak mempunyai peralatan dan makmal ujian koronavirus yang mencukupi. Hal ini demikian kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menduduki tampuk pemerintahan kini tidak mempunyai peruntukan dana khas yang mencukupi untuk menangani perkara tersebut. Permasalahan ini adalah serius dan bukanlah sesuatu perkara yang boleh diputuskan oleh seorang ketua pengarah kementerian.

Oleh itu, saya ingin menggesa pihak kerajaan untuk mencari ikhtiar membeli peralatan klinikal serta mempertambah makmal ujian COVID-19 di kawasan lapangan terbang antarabangsa dan pemeriksaan di kawasan sempadan Malaysia-Singapura supaya urusan kerja para usahawan antarabangsa dapat diteruskan. Hal ini amat penting untuk menjamin kelangsungan perdagangan antarabangsa dan aktiviti ekonomi Malaysia.